Khamis, 8 November 2018 | 3:34pm
KETUA Pegawai Eksekutif CSR, Hishammudin Hasan (dua dari kiri) hadir pada majlis pelancaran produk Better Brown Gula Rendah Glisemik di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Owee Ah Chun
KETUA Pegawai Eksekutif CSR, Hishammudin Hasan (dua dari kiri) hadir pada majlis pelancaran produk Better Brown Gula Rendah Glisemik di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Cukai soda beri impak jangka pendek perniagaan CSR

PETALING JAYA: Pengeluar gula tempatan, Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) menjangkakan pelaksanaan duti eksais atau cukai soda ke atas minuman bergula mungkin memberi sedikit impak terhadap perniagaannya untuk tempoh jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hishammudin Hasan, berkata syarikat masih belum melakukan kajian terperinci mengenai perkara itu namun akan memantau impak cukai terbabit kepada perniagaannya secara berterusan.

"Walaupun syarikat mungkin menerima sedikit impak, namun cukai ini adalah sebahagian daripada pendidikan kepada rakyat mengenai penggunaan gula dalam kehidupan seharian.

"Kami jangkakan impak ini hanya bersifat sementara dan ia akan kembali normal dalam tempoh jangka sederhana dan panjang," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran produk Better Brown Gula Rendah Glisemik di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi CSR, Megat Joha Megat Abdul Rahman.

Kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2019 lalu bercadang untuk memperkenalkan duti eksais pada kadar 40 sen seliter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Hishammudin berkata, pelaksanaan cukai soda bukanlah satu perkara baharu di dunia kerana pernah dilaksanakan di negara Eropah, namun ia satu satu kaedah bagi memberi peringatan mengenai penggunaan dan pilihan gula dalam makanan.

"Kami akan sentiasa memberi sokongan kepada sebarang usaha kerajaan dalam memupuk gaya hidup lebih sihat melalui pengawalan pengunaan gula, yang selari dengan visi kami untuk mempromosikan penggunaan gula yang sihat kepada pengguna," katanya.

Sementara itu, CSR memperkenalkan Better Brown Gula Rendah Glisemik iaitu produk gula yang lebih sihat pertama di Malaysia dan Asia yang memiliki Indeks Glisemik Rendah (GI).

Hishamuddin berkata, produk terbaru CSR yang memiliki GI rendah itu akan lebih perlahan untuk dicerna dan diserap serta akan menyumbang kepada peningkatan perlahan dan rendah glukosa darah sekali gus membantu pengguna untuk mengekalkan tenaga lebih lama dan membendung keinginan lapar.

"Untuk produk ini, kami tidak menetapkan sasaran jualan kerana apa yang paling penting adalah untuk melihat sambutan pengguna dan mengajak mereka untuk menggunakan gula lebih baik yang dijual pada harga berpatutan iaitu RM3.80 sekilogram.

"Kami juga hanya akan memberi fokus kepada pasaran tempatan bagi produk ini namun tidak menolak untuk memasarkannya di pasaran luar negara pada masa depan," katanya.

Berita Harian X