Selasa, 30 Oktober 2018 | 3:13pm

Anak syarikat Sime Darby ambil alih firma Australia

KUALA LUMPUR: Sime Darby Industrial Australia (SDIA), anak syarikat milik penuh Sime Darby Bhd bersetuju untuk mengambil alih Heavy Maintenance Group Pty Ltd (HMG) daripada dana ekuiti swasta Pemba Capital (Pemba) pada harga A$58 juta (RM172 juta).

Menurut Sime Darby, HMG adalah peneraju kepakaran dalam kerja-kerja pembuatan, pengubahsuaian serta permukaan bagi komponen peralatan dalam pasaran Australia dan Asia-Pasifik.

HMG yang beroperasi dari kemudahan yang serba canggih dan besar di Brisbane, memberikan khidmat untuk industri berat, perlombongan serta minyak dan gas yang memerlukan pengeluaran atau baik pulih silinder hidraulik, kejuruteraan sofistikated dan salutan pelindungan pemukaan.

Pengarah SDIA, Dean Mehmet berkata HMG akan saling melengkapi dan meningkatkan keupayaan Austchrome, perniagaan krom serta baik pulih silinder miliknya di Mackay.

"Pengambilalihan HMG akan menambah liputan geografi dengan menggabungkan keupayaan Mackay dengan kemudahan HMG di Brisbane.

"Kami sangat gembira mempunyai pasukan pengurusan yang mantap dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan HMG bagi terus mengekalkan kepimpinannya dalam pasaran kerja-kerja pengubahsuaian silinder perlombongan termasuk memacu pertumbuhan dalam sektor minyak dan gas," katanya.

Transaksi itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini, tertakluk kepada kelulusan daripada Lembaga Kajian Pelaburan Luar Australia.

Kakitangan HMG akan terus dikekalkan semasa proses pemindahan pemilikan.

Berita Harian X