Selasa, 30 Oktober 2018 | 2:24pm
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd, Alois Hofbauer. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Nestle raih untung bersih RM535 juta

KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai RM535 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2018, meningkat RM23.9 juta berbanding RM511 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan perolehan serta margin lebih tinggi menghasilkan peningkatan keuntungan kasarnya dalam tempoh dikaji daripada RM1.48 bilion kepada RM1.61 bilion, iaitu kenaikan 8.6 peratus.

Keuntungan operasi juga meningkat sebanyak 7.7 peratus daripada RM673 juta kepada RM725 juta.

Keputusan cemerlang ini dicapai walaupun syarikat perlu menanggung perbelanjaan sekali untuk pemindahan Pusat Pengedaran Kebangsaan Nestle baharu pada suku kedua.

Bagi sembilan bulan pertama, kumpulan mencatatkan perolehan berjumlah RM4.2 bilion, iaitu 4.8 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Keputusan ini dipacu oleh sentimen pengguna yang lebih baik selain kejayaan usaha inovasi dan penambahbaikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alois Hofbauer, berkata syarikat gembira kerana sekali lagi berjaya mencatatkan keputusan memberangsangkan untuk suku ketiga serta sembilan bulan pertama.

Katanya, keputusan ini diterajui oleh prestasi kukuh jenama-jenama utama dan juga kejayaan berpindah ke Pusat Pengedaran Nestle yang baharu.

“Selama sembilan bulan pertama tahun ini, pelbagai inovasi produk telah berjaya menyumbang kepada perolehan keseluruhan kumpulan. Secara khususnya, rangkaian Mi MAGGI mencatatkan pertumbuhan kukuh, disumbangkan terutama oleh variasi Pedas Giler.

“Kami juga menggembirakan rakyat Malaysia dengan pelancaran produk lain seperti Aiskrim Perisa Yogurt Tropicana Laici Nestle, MILO 3-dalam-1 Kurang Gula dan NESCAFE Cold Brew,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejajar dengan komitmen kumpulan untuk menambah nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah Nestle telah mengisytiharkan dividen interim kedua 70 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Berita Harian X