Selasa, 30 Oktober 2018 | 2:23pm
PROJEK solar berskala besar TNB di Kuala Langat.
PROJEK solar berskala besar TNB di Kuala Langat.

Projek LSS terbesar TNB bermula

KUALA LUMPUR: Projek tenaga solar berskala besar (LSS) Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor mencapai tarikh operasi awal (IOD) dengan tenaga pertama yang dijana dihantar ke Grid Nasional minggu lalu.

TNB dalam satu kenyataan berkata, menerusi perkembangan positif loji solar berkenaan, ia mampu menjana kapasiti penuh 50 megawatt (MW) sebelum akhir tahun.

“Loji dengan 230,000 panel solar dan gentian kabel optik sepanjang 10 kilometer (km) dengan kuasa 132kV adalah projek LSS pertama terbesar Malaysia setakat ini,” katanya.

Projek LSS yang dimulakan pada Julai tahun lalu itu dibangunkan anak syarikat TNB, iaitu TNB Sepang Solar di atas tanah berkeluasan 98 hektar di Kuala Langat.

TNB Engineering Corporation Sdn Bhd pula adalah rakan kongsi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi projek itu.

TNB berkata, projek LSS itu menjadi bukti aspirasi dan komitmennya ke arah pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

“Ia juga menterjemahkan kompetensi dan kepakaran TNB dalam RE serta memiliki reputasi sebagai pemaju projek kuasa,” katanya.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menetapkan sasaran bahawa 20 peratus daripada tenaga elektrik negara akan dijana menerusi sumber boleh diperbaharui menjelang tahun 2030.

Kira-kira 53 peratus janaan kuasa di Semenanjung Malaysia adalah daripada arang batu, manakala 42 peratus daripada gas asli dan lima peratus adalah hidro dan bentuk RE.

Berita Harian X