Ahad, 28 Oktober 2018 | 4:56pm
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong (tiga kiri), Pengarah Urusan Kumpulan Ming Heng, Datuk Walter Koh (tiga kanan) meninjau pusat service pada perasmian Ming Heng Sdn. Bhd 4S pusat pengedar PROTON di Setapak, semalam. - Foto Saifullizan Tamadi

Proton X70 terima lebih 10,000 tempahan

KUALA LUMPUR: Kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton Holdings Bhd (PROTON), X70 terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima lebih 10,000 tempahan setakat ini sejak pratempahan dibuka pada 8 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROTON, Dr Li Chunrong berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,000 unit ditempah menerusi platform dalam talian yang dilancarkan pada 17 Oktober lalu.

“Di sebalik keperluan mengawal aliran maklumat mengenai model ini sebelum pelancaran rasminya tidak lama lagi, respons pelanggan amat menggalakkan dengan lebih 10,000 tempahan diterima.

“Ketika ini, kami mahu pelanggan bersabar sedikit saja lagi memandangkan kami sedang mempersiapkan proses terakhir untuk pelancaran rasmi Proton X70.

“Ini adalah kenderaan SUV pertama dibangunkan bersama oleh PROTON dan Geely, justeru kami sedang bekerja keras untuk memastikan model ini menepati jangkaan pelanggan sekali gus melonjakkan jualan di semua cawangan Proton Edar,” katanya pada majlis perasmian cawangan Pusat 4S Proton Ming Heng Motor Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa dan CEO Ming Heng Motor, Eric Lee.Pusat 4S terbaharu itu terletak di Jalan Genting Klang di sini dengan kos pembinaan berjumlah RM6 juta.

Antara kemudahan yang terdapat di pusat ini adalah 14 ruang penyelenggaraan, lounge, ruang permainan kanak-kanak serta kemudahan mengecas telefon mudah alih.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, syarikat kereta nasional itu juga melepasi sasaran 109 cawangan untuk dinaiktaraf kepada 3S/4S pada Oktober tahun ini dengan merekodkan 113 cawangan setakat ini.

“Ia menunjukkan pencapaian sebanyak 104 peratus berbanding sasaran awal kita pada awal tahun lalu.“Pencapaian ini membuktikan pasaran bertindak balas dengan baik terhadap jenama PROTON.

“Ketika JD Power mengeluarkan laporan indeks kepuasan jualan (SSI) 2018 bagi jenama automatif, kedudukan PROTON naik ke tempat keenam dengan skor 782 mata.

“Kami percaya dengan segala inisiatif yang kita lakukan, PROTON akan berada dalam kelompok tiga terbaik menjelang 2019,” katanya.

Berita Harian X