Khamis, 25 Oktober 2018 | 3:14pm
engasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto NSTP
engasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto NSTP

Untung sembilan bulan Public Bank RM5.31 bilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank (Public Bank) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM5.31 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 2.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan bersih milik pemegang saham pula meningkat lima peratus kepada RM4.19 bilion berbanding RM3.98 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelum ini.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata dalam persekitaran yang tidak menentu dan ketidakstabilan yang berterusan, kumpulan meneruskan pertumbuhan keuntungan, dipacu terutamanya oleh strategi pertumbuhan organik dalam perniagaan pinjaman dan depositnya, selain kualiti aset dan kecekapan kos yang kukuh dan stabil.

“Ini membolehkan kumpulan terus berupaya mencapai prestasi kewangan yang baik berbanding dengan yang setaraf dengannya, dengan pulangan ekuiti bersih pada 14.7 peratus, nisbah kos kepada pendapatan pada 33 peratus dan nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar pada 0.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi suku ketiga 2018, Public Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.38 bilion, yang mencerminkan pertumbuhan sebanyak 1.6 peratus daripada keuntungan bersih pengendalian sebanyak RM1.36 bilion dicapai pada suku sama sebelum ini, selepas menolak laba modal atas pelaburan satu kali sebanyak RM43 juta.

Kedudukan penerajuan pasaran dalam kewangan Public Bank bagi pembelian hartanah kediaman, hartanah komersial dan kenderaan penumpang terus menjadi pendapatan faedah untuk kumpulan.

Bagi sembilan bulan pertama 2018, jumlah pinjaman kasar meningkat pada kadar tahunan sebanyak 4.4 peratus kepada RM314.5 bilion.

Pinjaman dalam negeri berkembang pada kadar yang sama pada kadar tahunan sebanyak 4.4 peratus kepada RM291.6 bilion.

Dari segi pendanaan, Kumpulan Public Bank meneruskan pertumbuhan yang kukuh dalam deposit.

Jumlah deposit pelanggan berkembang pada kadar tahunan sebanyak 6.5 peratus kepada RM334.9 bilion, manakala deposit dalam negeri meningkat pada kadar tahunan sebanyak 6.3 peratus kepada RM307 bilion.

“Berikutan prestasi ini serta pengurusan mudah tunai yang berhemat, kumpulan mengekalkan pinjaman kasar bagi nisbah dana dan ekuiti yang baik sebanyak 79.4 peratus pada akhir September 2018,” kata Hong Piow.

Mengenai prospek akan datang, beliau berkata persekitaran makro semakin mencabar pada tahun ini, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setengah tahun pertama menyederhana kepada 4.9 peratus.

Katanya, ketika berlaku ketidaktentuan, pertumbuhan ekonomi dijangka menyederhana dalam tempoh jangka pendek akan datang.

“Namun, ekonomi Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan yang baik. Sistem kewangan dalam negeri, sebagai teras ekonomi, terus kukuh untuk menyokong pertumbuhan.

“Mengambil kira cabaran dalam persekitaran kendalian, kumpulan akan mengukuhkan pengurusan kunci kira-kiranya yang berhemat dan berkesan untuk mengekalkan keuntungan.

“Amalan jangka panjang dari segi kecekapan kos, pengurusan risiko berhemat dan ketahanan untuk menguasai peluang akan terus membawa kumpulan ke arah pertumbuhan perniagaan yang mampan,” katanya.

Berita Harian X