Jumaat, 19 Oktober 2018 | 9:32pm
DATUK Mohd Nasir Ahmad. - Foto fail NSTP
DATUK Mohd Nasir Ahmad. - Foto fail NSTP

Mohd Nasir Pengerusi Kumpulan CIMB yang baharu

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) melantik Datuk Mohd Nasir Ahmad sebagai Pengerusi Kumpulannya yang baharu berkuat kuasa 20 Oktober ini.

Perlantikan Mohd Nasir itu mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia bagi menggantikan Datuk Seri Nazir Razak yang melepaskan jawatannya hari ini.

Pada 24 September lalu, Nazir Razak mengumumkan niatnya untuk bersara dari kedudukannya sebagai Pengerusi Kumpulan dan semua jawatan lain dalam CIMB.

Mohd Nasir sudah menjadi ahli lembaga pengarah kumpulan sejak 2015 dan Pengarah Bebas Kanan CIMB sejak April 2016.

Beliau mempunyai pengetahuan dengan perniagaan dalaman dan luaran kumpulan selain akan melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Bebas Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Audit.

Namun beliau akan kekal sebagai ahli Jawatankuasa Audit Kumpulan, Jawatankuasa Risiko dan Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran Kumpulan.

Mohd Nasir adalah Akauntan Bertauliah dan Felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom.

Beliau mempunyai 39 tahun pengalaman korporat melalui syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, termasuk pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

Beliau juga adalah Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd, serta Pengarah Bebas CIMB Bank Bhd, SIRIM Bhd dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd.

Mengulas mengenai perlantikan itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pihaknya mengalukan kedatangan Mohd Nasir sebagai pengerusi baharu.

“Kami teruja untuk berada di bawah pimpinannya dalam melaksanakan pelan pertumbuhan jangka pertengahan akan datang pada 2019 yang akan memberi tumpuan kepada rakyat, pelanggan, digital dan kemampanan.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Nazir Razak atas kecemerlangannya sepanjang 29 tahun berada dalam kumpulan termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan selama 15 tahun dan sebagai Pengerusi Kumpulan sejak 2014.

“Di bawah kepimpinannya, CIMB berkembang daripada francais korporat kewangan yang baru muncul kepada sebuah bank pelaburan terkemuka di Malaysia, dan kemudiannya berubah menjadi peneraju bank sejagat di ASEAN.

“Kumpulan juga telah disenaraikan pada 2003 dengan aset dan pasaran sebanyak RM9.6 bilion, permodalan sebanyak RM1.5 bilion. Pada 30 Jun 2018, aset Kumpulan berjumlah RM515 bilion dengan permodalan pasaran semasa RM56.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X