Jumaat, 19 Oktober 2018 | 9:17pm

Anak syarikat TNB tawar pakej solar PV kediaman

KUALA LUMPUR: GSPARX Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB Renewables Sdn Bhd, merancang untuk menawarkan pembiayaan pakej penjanaan kendiri bagi panel solar fotovoltan (PV) kepada pengguna kediaman pada akhir tahun ini.

TNB Renewables Sdn Bhd adalah entiti milik Tenaga Nasional Bhd (TNB).

GSPARX, ditubuhkan untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap pembiayaan penjanaan kendiri bagi pelaburan solar PV , telah mula menawarkan pakej kepada pelanggan komersial dan industri.

Dalam kenyataan hari ini, TNB berkata GSPARX adalah antara syarikat pelaburan pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian perbelanjaan modal sifar pendahuluan bagi pemasangan panel solar PV.

Menerusi perkhidmatan yang ditawarkan GSPARX, TNB berkata, pelanggannya akan memperolehi manfaat daripada penjimatan dan peluang lindung nilai manakala pemasang mendapat faedah daripada peluang perniagaan bagi pemasangan solar PV.

Ini, menurut TNB, akan merealisasikan sasaran kerajaan iaitu tenaga boleh diperbaharu menyumbang 20 peratus kepada kapasiti penjanaan negara menjelang 2025.

GSPARX menyasarkan untuk menawarkan 1,500 megawatt bagi penjanaan kendiri untuk pelaburan solar PV pada 2025.

Aliran perolehannya adalah disumbangkan oleh jualan tenaga yang dijanakan oleh solar PV dan digunakan pelanggan pada harga yang dipersetujui kedua-dua pihak berasaskan kesediaan pembeli dan penjual.

-BERNAMA

Berita Harian X