KUALA LUMPUR: TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bekerjasama dengan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Senai-Desaru Expressway Bhd (SDEB) untuk Program Tenaga Hijau (GEP) di sepanjang Lebuh Raya Senai-Desaru (E22) di Johor.
Satu memoramdum persefahaman (MoU) dimeterai ketiga-tiga pihak hari ini dengan TNBES diwakili Pengarah Urusannya, Dr Ir Ahmad Jaafar Abd Hamid; MIGHT oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman dan SDEB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamal Abd Nasir Taharim.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd hadir menyaksikan majlis itu di Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2018.
Berdasarkan MoU, syarikat akan meninjau potensi projek lebuh raya hijau yang boleh dilaksanakan di lebuh raya sepanjang 77 kilometer itu.
Projek itu dijangka memanfaatkan pengguna lebuh raya dan komuniti sekitarnya melalui infrastruktur dan ekosistem tenaga boleh diperbaharui (RE) dan cekap tenaga (EE) yang moden serta persekitaran yang lebih hijau.
Ketiga-tiga pihak akan bekerjasama ke arah menyokong Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), dengan menggabungkan pengangkutan dan kelestarian ekologi dalam reka bentuk, perancangan, pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya.
Ketiga-tiga pihak juga akan memanfaatkan penyelesaian RE dan EE TNBES dengan memasang lampu diod pemancar cahaya (LED), memasang unit penyaman udara EE dan kemudahan panel solar serta mengintegrasikan sistem pemantauan bangunan TNBES, yang dikenali Making Electricity Visible (MAEVI).
Ia juga termasuk memasang, mengendalikan operasi dan menyelenggarakan rangkaian stesen mengecas kenderaan elektrik (EV) di lokasi terpilih.