Khamis, 4 Oktober 2018 | 1:59pm
Malaysia Airlines dan Jet Airways mengumumkan pengembangan perjanjian perkongsian kod yang menawarkan penumpang rangkaian destinasi lebih meluas. - Foto hiasan
Malaysia Airlines dan Jet Airways mengumumkan pengembangan perjanjian perkongsian kod yang menawarkan penumpang rangkaian destinasi lebih meluas. - Foto hiasan

Malaysia Airlines, Jet Airways kembang perkongsian kod

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines dan Jet Airways mengumumkan pengembangan perjanjian perkongsian kod yang menawarkan penumpang rangkaian destinasi lebih meluas merangkumi laluan baharu dengan pelepasan dari Mumbai dan Hyderabad ke bandar-bandar lain di India serta destinasi Asia Tenggara termasuk Hong Kong, Bangkok dan Singapura, bermula 24 September 2018.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam kenyataan hari ini berkata, perkongsian kod Malaysia Airlines dengan Jet Airways meliputi Hyderabad–Bangalore, Mumbai-Ahmedabad, Mumbai-Aurangabad, Mumbai-Bangalore, Mumbai-Chennai, Mumbai-Delhi, Mumbai-Goa, Mumbai-Hyderabad, Mumbai-Jaipur, Mumbai-Kochi dan Mumbai-Kolkata.

Sementara itu, perkongsian kod Jet Airways dengan Malaysia Airlines membabitkan destinasi dari Kuala Lumpur-Bangkok, Kuala Lumpur-Hong Kong dan Kuala Lumpur-Singapura.

“Perjanjian itu adalah lanjutan daripada perkongsian kod sedia ada dengan Malaysia Airlines menerusi destinasi Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Mumbai, Bangalore, Hyderabad, Delhi, dan Chennai,” kata syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Hasil Malaysia Airlines, Ignatius Ong, berkata bersama dengan Jet Airways, syarikat penerbangan itu akan menawarkan sambungan yang lancar ke bandar sedang berkembang maju di India termasuk Aurangabad, Dabolim (Goa), Ahmedabad, Kochi and Kolkata. - BERNAMA

Berita Harian X