Khamis, 20 September 2018 | 3:58pm

Agrobank komited salur RM10.5 bilion perkasa sektor pertanian

KUALA LUMPUR: Agrobank komited untuk menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10.5 bilion sehingga akhir tahun ini dalam usaha memperkasakan industri pertanian di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Alwi Mohamed Sultan, berkata komitmen itu adalah bersandarkan kepada mandat yang diberikan kepada bank itu untuk memberikan akses pembiayaan kepada usahawan tani, sekali gus merangsang pertumbuhan sektor pertanian.

Katanya, dengan mandat sedemikian, Agrobank mencipta nilai tambah dengan memberikan keperluan pembiayaan kepada usahawan dalam sektor huluan mahu pun hiliran.

“Setakat Ogos lalu, Agrobank telah mencapai nilai pembiayaan keseluruhan RM10 bilion, yang bermakna kami telah mencapai pertumbuhan bersih sebanyak RM1 bilion.

“Tahun lalu, Agrobank menyalurkan pembiayaan berjumlah RM9.5 bilion, peningkatan kira-kira sembilan peratus,” katanya kepada media di Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Mengulas lanjut Syed Alwi berkata, pihaknya juga sedang membuat rangka persediaan perniagaan bagi tahun kewangan akan datang dan ia akan dibuat berdasarkan hala tuju yang akan diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, Agrobank turut menyasarkan keuntungan sebelum cukainya meningkat sebanyak RM220 juta tahun ini mewakili peningkatan 10 peratus tahun ke tahun.

“Agrobank secara aktif menyokong pembangunan pertanian negara dengan beroperasi di lapan wilayah melalui 192 cawangan dan kios serta ejen agro di seluruh Malaysia,” katanya.

Agrobank yang ditubuhkan pada 1969 menawarkan produk dan perkhidmatan dalam bidang pembiayaan korporat, komersial dan mikro serta pembiayaan perdagangan, peribadi, perbankan elektronik, deposit dan perkhidmatan.

Berita Harian X