Rabu, 19 September 2018 | 7:13pm

Glomac catat untung RM2.3 juta

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM2.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2019 dengan pendapatan diraihnya RM57.6 juta.

Margin keuntungan kasar meningkat berbekalkan penjimatan kos daripada projek yang telah siap dan aliran tunai positif daripada operasi, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Hasil disumbangkan sebahagian besarnya oleh bil kemajuan kerja daripada Bandar Saujana Utama, Sri Saujana dan Saujana KLIA,” katanya.

Pada suku tahun yang dilaporkan, Glomac melancarkan projek pembangunan kediaman bersepadu hak milik kekal, Plaza @ Kelana Jaya.

Blok pertama apartmen perkhidmatan telah dilancarkan pada awal suku tahun ini dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kadar jualan 60 peratus.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM350 juta itu merangkumi 696 unit apartmen perkhidmatan serta 16 pejabat kedai tiga tingkat.

Plaza @ Kelana Jaya terletak secara strategik di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), dikelilingi oleh kawasan kejiranan matang yang berhampiran pelbagai kemudahan.

Dalam pada itu, kumpulan bercadang untuk menggiatkan pelancaran baharu untuk memanfaatkan sentimen pengguna ekoran perubahan pentadbiran kerajaan baru-baru ini.

Pelancaran yang akan datang pada tahun kewangan 2019 berjumlah RM1 bilion tetap bertumpu kepada segmen pasaran pertengahan dan mampu milik, manakala projek kediaman bertanah di bandar seperti Saujana Perdana di Sungai Buloh, Selangor dan Saujana Jaya di Kulai, Johor terus mencatatkan jualan yang mantap.

Berita Harian X