Selasa, 18 September 2018 | 3:56pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail melancarkan pusat jualan GCH Retail terbaru di Taman Perindustrian Kidamai Kajang. - Foto Hafiz Sohaimi
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail melancarkan pusat jualan GCH Retail terbaru di Taman Perindustrian Kidamai Kajang. - Foto Hafiz Sohaimi

GCH lancar pusat pengagihan sebagai hab barangan segar

KAJANG: GCH Retail (M) Sdn Bhd (GCH), operator pasar raya terbesar di Malaysia melancarkan pembukaan pusat pengagihan yang menelan kos sebanyak RM116 juta sebagai hab barangan segar di negara ini.

Pengarah Urusannya, Pierre-Olivier Deplanck, berkata pusat pengedaran itu mempunyai keluasan kira-kira 25,000 meter persegi, iaitu tiga kali ganda lebih besar berbanding operasi sedia ada GCH di Balakong.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada komitmen berterusan GCH untuk memastikan pengguna di Giant, Cold Storage, Jason’s Food Hall dan Mercato mendapat nilai terbaik dan berkualiti.

“Bagi tempoh lebih 70 tahun beroperasi di Malaysia, kami sentiasa komited untuk membawakan lebih banyak inovasi serta pengalaman beli-belah barangan yang lebih segar kepada pengguna.

“Segala proses di pusat pengedaran ini meliputi pemilihan, pembungkusan dan pengendalian sebahagian besar buah-buahan, sayur-sayuran dan daging segar yang dilakukan dengan teliti kerana ia mempengaruhi kualiti.

“Fasiliti dengan kawalan suhu secara digital ini adalah untuk memastikan semua barangan segar dari lebih 200 vendor yang disimpan di pusat pengedaran ini dapat mengekalkan kualiti kesegaran produk,” katanya pada perasmian pusat pengedaran itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pusat pengedaran yang bertindak sebagai pusat sehenti itu mengendalikan barangan segar untuk penghantaran ke seluruh semenanjung Malaysia yang menggunakan 50 trak setiap hari.

Deplanck berkata, pihaknya yakin dengan pembukaan pusat pengedaran itu, lebih 200 peluang pekerjaan dapat dihasilkan untuk pekerja dalam sektor pemprosesan makanan dan pergudangan di fasiliti berkenaan.

Katanya, ia termasuklah pasukan pengedaran, pakar pembelian dan produk serta kawalan kualiti yang membantu mencapai objektif untuk menawarkan produk yang segar kepada pengguna.

“Kami menyokong lebih banyak peluang pekerjaan secara tidak langsung menerusi kerjasama dengan pembekal tempatan, rakan logistik dan vendor yang mana ia meningkatkan taraf ekonomi sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kementeriannya akan memanggil pembekal telur bagi berbincang mengenai isu harga telur gred B dan C yang meningkat selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 September lalu.

Katanya, dalam tempoh 18 hari cukai itu dilaksanakan, pihaknya meneliti bahawa tiada kenaikan harga dalam 30 barang paling popular dibeli pengguna seperti minyak masak, mee segera, tepung dan gula.

“Kementerian akan mengambil langkah dalam memastikan ia terkawal dengan memanggil pembekal telur supaya dapat berbincang mengenai hal ini,” katanya.

Berita Harian X