Jumaat, 14 September 2018 | 5:48pm
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

MAHB kekal tidak mengenakan cukai lapangan terbang di STOLport

BARIO: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kekal untuk tidak mengenakan cukai lapangan terbang kepada semua penumpang yang menaiki penerbangan di terminal padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport), meski pun berdepan dengan cabaran semasa pada masa ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata kadar tiket penerbangan bagi laluan menerusi STOLport masih kekal seperti sebelum ini, selain menerima subsidi daripada kerajaan.

"Buat masa sekarang, penumpang tidak dikenakan cukai lapangan terbang dan perkhidmatan di STOLport masih kekal sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi MAHB.

"Banyak manfaat yang diperoleh menerusi pembinaan STOLport terutama kepada rakyat tempatan.

"Selain menghubungkan penduduk tempatan serta masyarakat luar dengan kawasan pedalaman, STOLport turut berperanan sebagai salah satu cara MAHB 'memberi semula' kepada masyarakat," katanya selepas perasmian terminal STOLport Bario yang baharu dinaiktaraf dengan tajaan bersama MasWings Sdn Bhd (MasWings), di sini, semalam.

MAHB memperuntukkan kira-kira RM300,000 bagi kerja menaik taraf STOLport Bario.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MasWings, Aminuddin Zakaria; pengurusan kanan MAHB dan wakil penduduk setempat.

Raja Azmi berkata, MAHB juga dalam perancangan untuk menaik taraf STOLport dalam usaha memberi perkhidmatan lebih baik kepada penggunanya.

"Kita sedang melihat kepada keperluan itu terutama di STOLport utama seperti Marudi dan Lawas selain di Bario," katanya.

Selain itu beliau berkata, pihaknya juga akan mengkaji semula kekerapan penerbangan di semua STOLport untuk melihat semua keperluan yang berkaitan.

"Kita akan melihat sama ada kekerapan penerbangan di lokasi berkenaan perlu dikurangkan atau ditambah kerana ia bergantung kepada permintaan.

"Perkara itu kini di peringkat perbincangan dan perlu mendapatkan persetujuan antara Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan kerajaan negeri," katanya.

Usaha menaik taraf bangunan terminal STOLport Bario mampu meningkatkan pengendalian kekerapan pesawat daripada 21 kepada 28 pesawat seminggu.

Menerusi kemudahan itu, hampir 7,500 penduduk terdiri daripada 46 kampung di daerah kecil Bario menikmati pelbagai manfaat, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.

Info:

-MAHB mengendalikan 18 STOLport di Malaysia yang mana terletak di kawasan pedalaman serta penempatan yang sukar dicapai menerusi jaringan pengangkutan darat.

- STOLport juga tidak mengenakan caj perkhidmatan penumpang (PSC)

Berita Harian X