Jumaat, 14 September 2018 | 4:58pm
KETUA Pegawai Eksekutif, Proton Edar Sdn Bhd, Abdul Rashid Musa (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong (kanan dari kedua) semasa pembukaan Pusat Proton 3S di seksyen 13, Petaling Jaya. - Foto Sairien Nafis

PROTON capai 92 peratus penambaikan cawangan

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd (PROTON) mencapai 92 peratus daripada sasaran bagi pelan cawangan yang diluluskan berstatus 3S dan 4S.

Ia selari dengan sasaran pengeluar kereta nasional itu untuk untuk mendapatkan sebanyak 109 cawangan menjelang Oktober tahun ini, dengan sejumlah 100 cawangan setakat ini sudah mendapat kelulusan.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata pusat cawangan 3S dan 4S adalah penting kerana ia berfungsi sebagai penghubung kepada pelanggan dan mengetahui bagaimana mereka melihat PROTON.

“Apabila kami mengambil keputusan untuk menaik taraf cawangan yang bertujuan menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, ia bukan hanya semata-mata percakapan kerana terdapat hasil di sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Chunrong berkata, selain satu keputusan perniagaan yang baik, menaik taraf cawangan juga menunjukkan keyakinan pengedar terhadap jenama ini.

“Penaik tarafan ini turut dilakukan kerana keperluan pelanggan kini sudah berubah. Permintaan mereka kini lebih tinggi dan memerlukan tahap jualan serta servis yang hebat. Jadi ia adalah satu keperluan bagi usahawan terus selari dengan tuntutan pasaran selain menyediakan apa yang mereka mahukan,” katanya.

Menerusi pengukuhan jenama itu katanya, ia turut menyumbang kepada peningkatan jualan PROTON yang meningkat naik sejak tiga bulan lalu dengan jualan pada Ogos mencapai 18 peratus lebih tinggi daripada bulan sebelumnya.

“Ia mencapai jualan sebanyak 9,501 unit, iaitu jualan tertinggi untuk tempoh 36 bulan lalu. Kami yakin momentum jualan ini akan terus meningkat bagi bulan seterusnya, terutama dengan kedatangan SUV (kenderaan utiliti sukan) pertama PROTON, X70,” katanya yang turut menambah tempahan unit itu kini dibuka sejak 8 September lalu dan tempahan boleh dibuat dengan deposit sebanyak RM1,000 di semua cawangan PROTON yang diiktiraf.

Selain itu, menerusi kenyataan sama, PROTON berkata, syarikat itu membuka cawangan pengedar 3S baharu yang dikendalikan Atiara Johan Sdn Bhd (Atira Johan), di Puchong.

Cawangan baharu itu dibina dengan kos pembinaan dianggarkan bernilai RM3.5 juta, dengan kawasan seluas 1,700 meter persegi.

Pengarah Urusan Atiara Johan, Judith Yam, berkata dengan pembukaan cawangan baharu itu, pihaknya menganggarkan peningkatan jualan sebanyak 60 peratus dan kemudahan servis akan menjadi aliran pendapatan baharu untuk cawangan berkenaan.

“Pusat servis berkenaan dilengkapi dengan 14 tempat penyelenggaraan dan 12 servis pengangkat dan gabungan kakitangan servis berpengalaman akan memberi jaminan masa lebih cepat serta menyediakan tahap keselesaan lebih baik,” katanya.

Berita Harian X