Selasa, 28 Ogos 2018 | 3:12pm

UEM Sunrise raih untung RM239.3 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih UEM Sunrise Bhd meningkat kepada RM239.3 juta bagi tempoh enam bulan yang berakhir 30 Jun 2018, daripada RM14.57 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, dipacu oleh hasil daripada pembangunan yang sedang dimajukan, sumbangan daripada penjualan aset dan penjimatan kos.

Hasil bagi tempoh berkenaan meningkat sebanyak 21 peratus tahun ke tahun kepada RM861.1 juta daripada RM711.2 juta sebelumnya.

“Bersama dengan penjualan aset, sumbangan hasil daripada pembangunan hartanah tempatan kekal kukuh,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata peningkatan keuntungan itu disumbang daripada aktiviti pembangunan hartanah, iaitu Almas, Residensi Sefina dan Estuari Gardens, jualan menggalakkan daripada inventori dan realisasi daripada inisiatif penjimatan kos.

Beliau juga berkata syarikat itu menjangka dapat mencapai sasaran jualannya sebanyak RM1.2 bilion.

-BERNAMA

Berita Harian X