Isnin, 27 Ogos 2018 | 4:46pm
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin. - Foto Aziah Azmee
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin. - Foto Aziah Azmee

SST tidak beri impak ketara harga minyak pelincir

SERI KEMBANGAN: Petronas Dagangan Bhd (PDB) menjangkakan pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak akan memberi impak yang signifikan kepada harga minyak pelincir kerana ia bergantung kepada harga pasaran minyak mentah dunia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, meskipun rejim cukai itu akan mula dilaksanakan pada 1 September ini, pihaknya optimis syarikat itu tidak akan menerima tempias yang besar.

Katanya, PDB masih menunggu keputusan kepada tarif baharu SST dan akan membuat pelarasan kesesuaian berkaitan cukai berkenaan.

“Setakat ini, kami yakin tidak akan memberi kesan yang besar, sama ada SST atau cukai barang dan perkhidmatan (GST), ia masih bergantung kepada harga pasaran minyak dunia.

“Bagi minyak, ia tertakluk kepada kawalan harga dan merangkumi jumlah terbesar kepada kami iaitu 90 peratus manakala selebihnya adalah hasil daripada bukan minyak.

“Jadi, kami tidak boleh kaitkan sebarang kenaikan harga minyak pelincir dengan SST semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kempen Mural bersempena Hari Kebangsaan dan Malaysia di Seri Kembangan, semalam.

Syed Zainal berkata, PDB turut membuat persiapan bagi menghadapi SST malah percaya ia tidak mewujudkan jurang perbezaan yang ketara kepada syarikat.

Laporan sebelum ini menyebut pelaksanaan SST bermula Sabtu ini dijangka menyebabkan peningkatan harga barang sektor automotif meliputi tayar, alat ganti dan minyak pelincir.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMM), Anton Salleh Hashim, dalam memorandum pada 3 Ogos lalu berkata syarikat akan menyelaraskan harga buat pengedar, perkhidmatan stesen Petronas, bengkel, alat ganti serta harga disyorkan kepada pengguna setelah SST dilaksanakan.

Menurutnya, pelarasan harga juga disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah, kos bahan mentah dan kos operasi, yang mana PLMM perlu bertindak meningkatkan harga meliputi semua saluran ‘highstreet’, pengeluar produk tulen (OEM) dan runcit.

Sementara itu, Syed Zainal berkata, pada masa akan datang, PDB akan meningkatkan peruntukan perbelanjaan modal (capex) bagi memenuhi keperluan pengguna setianya.

Katanya, sebahagian daripada peruntukan capex tahun ini berjumlah RM350 juta digunakan untuk menaiktaraf kemudahan di stesen minyak Petronas dan juga kedai Mesra Petronas.

Berita Harian X