Khamis, 23 Ogos 2018 | 5:23pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen. - Foto Syarafiq Abd Samad

SP Setia rancang projek baharu RM4 bilion

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd (SP Setia) akan melancarkan beberapa projek baharu bernilai RM4 bilion pada separuh kedua 2018, sejajar dengan sasaran mencapai jualan RM5 bilion untuk tahun ini.

Bagi separuh pertama tahun ini, pemaju hartanah terkemuka itu mencatatkan prestasi jualan memberangsangkan dengan merekodkan jualan berjumlah RM2.11 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen, berkata meskipun berdepan dengan cabaran, SP Setia masih mampu merekodkan angka jualan yang baik termasuk projek tempatan yang menyumbang jualan sebanyak RM1.41 bilion, dengan bakinya adalah daripada projek di luar negara.

"Pada separuh kedua tahun ini, kami akan melancarkan beberapa projek baharu yang mana kira-kira dua pertiga daripadanya adalah pembangunan hartanah di dalam negara.

"Prospek kumpulan pada masa depan dijangka kekal positif dengan jumlah jualan belum dibilkan atau diterima berjumlah RM8.12 bilion, selain 46 projek yang sedang dijalankan," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan SP Setia bagi separuh pertama 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga 30 Jun lalu kumpulan juga mempunyai simpanan tanah seluas 3,879.72 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM155.94 bilion.

"Jumlah itu mencukupi untuk kami terus mengekalkan kedudukan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Bagi separuh pertama 2018, SP Setia merekodkan pendapatan sebanyak RM1.58 bilion dan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM629.4 juta.

Keuntungan bersih syarikat hartanah itu pada suku kedua turut meningkat 77 peratus tahun ke tahun kepada RM442.74 juta daripada RM250.57 juta, didorong hasil jualan projek hartanah yang berjaya disiapkan.

Mengulas mengenai pasaran hartanah tempatan, Chap Jen, berkata sentimen keseluruhannya dilihat semakin baik, namun pelabur masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai perubahan yang akan dilaksanakan.

"Mereka kini menunggu arahan lebih jelas terutama mengenai skim atau dasar perumahan yang akan diperkenalkan kerajaan," katanya.

Berita Harian X