X
Khamis, 9 Ogos 2018 | 4:35pm

IHH berdepan halangan ambil alih Fortis

KUALA LUMPUR: Cadangan IHH Healthcare Bhd untuk mengambilalih Fortis Healthcare Ltd yang berpangkalan di India berdepan halangan berikutan tindakan pengeluar ubat-ubatan Jepun, Daiichi Sankyo mendapatkan perintah mahkamah membantah pengambilalihan itu.

Bulan lalu, IHH Healthcare, firma penjagaan kesihatan 40.42 peratus milik Khazanah Nasional Bhd mengumumkan akan mengambil alih 31.1 peratus kepentingan ekuiti Fortis Healthcare dalam urus niaga bernilai RM2.35 bilion.

Tidak lama selepas pengumuman itu, Daiichi Sankyo menfailkan dengan Mahkamah Tinggi Delhi untuk menghalang urus niaga berkenaan, demikian mengikut laporan Nikkei Asian Review.

Pengasas Fortis, Malvinder dan Shivinder Singh, Januari lalu diarahkan untuk membayar ganti rugi 35 bilion rupee (AS$510 juta) kepada Daiichi Sankyo terhadap jualan pengeluar ubat generik, Ranbaxy Laboratories.

Adik-beradik itu didapati menyembunyikan maklumat kritikal daripada Daiichi Sankyo apabila mereka menjual kepentingan mereka dalam Ranbaxy pada 2008.

Dengan pembayaran belum dibuat, syarikat Jepun membantah penjualan Fortis.

Arahan mahkamah terkini akan menangguhkan tempoh masa pengambilalihan itu.

Berita Harian X