Khamis, 2 Ogos 2018 | 3:21pm

Rancangan DRB-HICOM jual Alam Flora positif: Penganalisis

KUALA LUMPUR: Saham DRB-Hicom Bhd dan Malakoff Corp Bhd masing-masing diniagakan cergas selepas pengumuman pemilik kereta nasional itu untuk menjual seluruh pegangan sahamnya sebanyak 97.37 peratus dalam Alam Flora Sdn Bhd kepada Tunas Pancar Sdn Bhd dengan nilai kira-kira RM944.6 juta.

Tunas Pancar adalah anak syarikat milik penuh Malakoff.

Bagaimanapun, nasib berbeza ditunjukkan oleh prestasi saham kedua-dua syarikat itu semalam dengan harga saham DRB-Hicom meningkat susulan pengumuman itu, manakala Malakoff pula susut.

Hong Leong IB Research mengekalkan penarafan "Beli" ke atas DRB-Hicom pada RM2.24 dengan harga sasaran lebih tinggi RM2.50 selepas pengumuman rancangan pelupusan kepentingan yang juga sebahagian rancangan penstrukturan semula kumpulan selain merealisasikan nilai Alam Flora.

Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu berkata urus niaga berkenaan dijangka selepai pada suku pertama tahun kewangan 2019 dan DRB-HICOM dijangka memperoleh keuntungan pelupusan berjumlah RM735.4 juta.

"Kami positif dengan urus niaga berkenaan, yang lebih tinggi berbanding nilai anggaran kami iaitu RM665.9 juta yang sekali gus mengukuhkan lagi aliran tunai DRB-HICOM. Kami mengekalkan saranan "Beli" dengan harga sasaran lebih tinggi RM2.62," katanya.

Sementara itu, Kenanga Reseach dalam notanya juga positif dengan cadangan pembelian oleh Malakoff kerana melihat penilaiannya sebagai wajar.

Ia menambah, pembelian itu adalah positif kepada perolehan dan memberikan sumber yang lebih jelas kepada firma pengeluar tenaga bebas itu.

Kenanga berkata, pembelian itu juga amat bertepatan dengan aspirasi jangka panjang kumpulan untuk menjadi penyedia tenaga boleh diperbaharui.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, DRB-HICOM berkata hasil yang diraih daripada aktiviti tersebut akan digunakan untuk pembayaran balik Nota Jangka Sederhana Islam dan pinjaman DRB-HICOM dan anak syarikatnya dan pelaburan dalam perniagaan sedia ada dan peluang pelaburan pada masa akan datang yang akan dikenal pasti.

"Cadangan penjualan itu akan membolehkan DRB-Hicom menggunakan sebahagian hasil tersebut kepada anak syarikat 50.1 peratus miliknya, Proton Holdings Bhd, yang sedang melaksanakan program pemulihan, jika perlu.

"Program pemulihan ini disokong oleh pelan perniagaan untuk tempoh 10 tahun yang melibatkan peningkatan kualiti, pengoptimuman kos dan pelancaran model baharu," katanya.

Jika diperlukan oleh pengeluar kereta nasional itu, hasil berkenaan akan digunakan untuk membiayai sebahagian kos pembangunan model baharu yang dijangka ditanggung dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Berita Harian X