Khamis, 2 Ogos 2018 | 2:22pm

PROTON catat rekod jualan tertinggi dalam 30 bulan

SUBANG JAYA: PROTON merekodkan jualan tertinggi dalam tempoh 30 bulan dengan pertumbuhan sehingga 31 peratus pada Julai berbanding Jun dengan menyaksikan 8,102 kereta dijual kepada pembeli tempatan dan tujuan eksport.

Jualan bagi pasaran domestik dipacu oleh pelanggan yang mengambil kesempatan dari Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar serta sebelum perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini.

Selain itu, usaha syarikat untuk meneruskan kembali aktiviti eksport turut menjadi penyumbang kepada peningkatan untuk pertumbuhan keseluruhan yang memberangsangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa, berkata Julai adalah bulan yang terbaik kepada syarikat pengeluar kereta nasional itu kerana berjaya mencapai jumlah jualan tertinggi bukan hanya pada 2018 namun dalam tempoh 30 bulan ini.

Beliau berkata, pihaknya mengetahui faktor yang mendorong kepada jualan itu adalah tempoh cukai sifar sebelum perlaksanaan SST pada September ini.

"Bagaimanapun, ia juga bukti bahawa rakyat Malaysia kini mula memilih terhadap tawaran yang pelbagai disediakan oleh kereta PROTON.

"Kami juga berharap momentum ini akan berterusan meskipun selepas SST dikuatkuasakan kerana kami akan memperkenalkan model SUV pertama pada tahun ini juga," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

PROTON menyaksikan peningkatan dalam pegangan pasaran kali ketiga berturut-turut dengan anggaran 11.7 berbanding 9.6 peratus dari jumlah jualan industri (TIV) pada bulan Julai berbanding Jun.

Populariti berterusan oleh Saga adalah bersandarkan kepada ciri mampu milik, ruang yang luas dan mudah dikendalikan selain promosi 10 tahunnya yang boleh dimiliki pada harga kurang RM30,000 pada Jun dan Julai lalu.

Malah, Persona, yang mendapat pengiktirafan lima bintang bagi ASEAN NCAP menjadi tarikan kerana dilengkapi ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Elektrik (ESC), kawalan cengkaman (TC) dan enam beg udara.

Abdul Rashid berkata, antara teras utama yang digariskan dalam pelan pertumbuhan jangka panjang PROTON ialah jualan eksport yang dilaksanakan pada tahun ini dengan 517 kereta dieksport pada Julai.

"Dengan lebih banyak penghantaran sebelum hujung tahun ini, syarikat berkeyakinan untuk mencapai sasaran jualan eksport yang ditetapkan dan ia menjadi pemangkin bagi aktiviti eksport pada tahun akan datang," katanya.

Setakat ini, pasaran eksport popular bagi PROTON adalah Asia Barat seperti Jordan, Iraq dan Iran sebagai destinasi utamanya.

Sementara itu, jualan di Mesir dijangka dilaksanakan semula pada suku keempat tahun ini selepas negara berkenaan pulih dari krisis mata wang yang menghalang industri automotifnya dalam tempoh beberapa tahun ini.

Berita Harian X