Isnin, 23 Julai 2018 | 6:13pm
PENGARAH Urusan Bioalpha Holding Berhad (Bioalpha) , William Hon. - Foto Asyraf Hamzah

Bioalpha sasar hasil 2,000 tan metrik herba

DUNGUN: Bioalpha Holding Berhad (Bioalpha) menyasarkan pengeluaran sebanyak 2,000 tan herba integrasi di Taman Herba Pasir Raja, dekat sini berdasarkan permintaan yang tinggi.

Bioalpha yang juga syarikat pengeluar produk makanan tambahan kesihatan dan kecantikan yakin sasaran itu mampu dicapai menjelang 2020.

Pengarah Urusannya, William Hon berkata, beliau yakin syarikatnya mampu menepati sasaran itu memandangkan permintaan tinggi terhadap herba tropika daripada industri sektor penjagaan kesihatan dan kecantikan.

Beliau berkata, projek tanaman herba itu giat dilaksanakan di dua negeri iaitu di Pasir Raja, Dungun, membabitkan keluasan 400 hektar serta 121 hektar di Desaru, Johor.

"Menyedari permintaan tinggi terhadap herba seperti kacip fatimah, misai kucing dan tongkat ali antaranya, kami bangunkan projek tanaman herba di dua lokasi ini.

"Kita menyasarkan pengeluaran 300 tan metrik herba di atas tanah seluas 100 hektar akhir tahun ini, manakala 2,000 tan metrik menjelang 2020," katanya ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Taman Herba Pasir Raja yang dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hon berkata, Bioalpha diberi tanggungjawab membangunkan tanah seluas 401.6 hektar sebagai sebuah taman herba tradisional tempatan dan antara herba yang paling tinggi permintaan ialah tongkat ali.

"Kita mulakan tanaman di atas tanah ini sejak 2014 dan setakat ini kita berjaya mewujudkan 32 peladang satelit dalam usaha menggalakkan penduduk setempat membangunkan perniagaan sendiri sebagai 'agropreneur'," katanya.

Beliau berkata, sebagai syarikat nutraseutikal bersepadu, perniagaan syarikatnya meliputi seluruh spektrum rantaian bekalan.

"Kami bukan sekadar mengeluarkan produk makanan tambahan, malah turut terbabit dalam kegiatan pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengilangan dan pengedaran suplimen kesihatan serta memiliki francais farmasi jenama Constant.

"Kami juga menjual produk kesihatan jenama kami sendiri iaitu APOTEC dan NUSHINE iaitu merangkumi makanan tambahan dan suplimen kesihatan pelbagai fungsi seperti penjagaan obesiti, peningkatan imuniti badan dan pemuliharaan kulit yang lengkap dengan pensijilan halal," katanya.

Hon berkata, syarikatnya juga akan membuka enam lagi farmasi iaitu di Perak dan Pulau Pinang dan setakat ini keseluruhan 15 farmasi beroperasi di Malaysia.

"Kita juga berpengalaman luas dalam pengeluaran makanan tambahan kesihatan dengan memiliki ahli daripada bidang sains, kimia dan teknologi makanan serta pemakanan.

"Kami kekal komited mencipta formulasi untuk penggunaan pengeluaran produk makanan tambahan yang menepati cita rasa dan kehendak pelanggan," katanya.

Beliau berkata, syarikatnya mempunyai sebuah kilang di Bangi, Selangor dan kerja penambahbaikan kilang sedang berjalan rancak.

"Perancangan untuk suku pertama tahun hadapan kita mahu membuka sebuah lagi kilang lain di luar Bangi dan objektif kami untuk memperkenalkan lebih lagi kepada masyarakat berkenaan produk kesihatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang menjual produk melalui program francais memandangkan syarikat terpaksa membelanjakan kos besar untuk membuka sebuah premis.

"Syarikat memikirkan adalah lebih baik modal itu dilaburkan di dalam program francais dan kami akan membantu peserta francais berkenaan pengurusan sesebuah francais," katanya.

Berita Harian X