Isnin, 23 Julai 2018 | 4:31pm

Sime Darby kekal positif projek Lembah Wawasan Malaysia

SHAH ALAM: Sime Darby Property kekal positif terhadap pembangunan projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV) dan yakin projek itu akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Pegawai Operasi Perbandaran Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri, berkata pihaknya sebelum ini sudah mengadakan perbincangan bersama kerajaan yang turut menyatakan keyakinan terhadap projek berkenaan.

"MVV bukan hanyalah satu yang dilaksanakan sekali sahaja, malah ia adalah pencetus pengubah kepada Negeri Sembilan dan negara.

"Ia juga akan menyumbang kepada pertumbuhan Negeri Sembilan, jadi kami amat positif terhadap MVV dan ia juga menerima maklum balas memberangsangkan daripada kerajaan negeri," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Sime Darby Property dan Unicef, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan wakil Unicef di Malaysia, Marianne Clark-Hatringh.

Menerusi MoU itu, Sime Darby menjalinkan usaha sama dengan Unicef untuk membina taman permainan inklusif pertama Malaysia di City of Elmina.

Projek yang dijangka siap pada separuh pertama 2019 itu akan menjadi standard bagi pembinaan taman permainan inklusif taman awam untuk industri.

Sementara itu, ditanya mengenai perbincangan antara Sime Darby Property bersama pihak yang ingin melabur dalam pembangunan MVV, Wan Hashimi berkata setakat ini masih tiada kata putus.

"Ia adalah perkara biasa untuk mengadakan perbincangan bersama pihak yang berpotensi melakukan pelaburan tetapi masih tiada kata putus sehingga kini. Bagaimanapun ada pihak-pihak mengemukakan minat kepada kami," katanya.

Pada Mei 2017, Sime Darby Property, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Brunsfield Development Sdn Bhd memeterai MoU untuk menerajui pembangunan MVV, merangkumi kawasan Seremban dan Port Dickson.

Dengan kawasan cadangan 130,000 ekar atau kira-kira 75 peratus saiz Singapura, pembangunan itu akan merangkumi kawasan bandar seperti Nilai, Seremban dan Port Dickson.   

Projek 30 tahun itu dijangka menarik kira-kira RM290 bilion pelaburan, mewujudkan 1.38 juta pekerjaan baharu dan menjana antara 6.2 peratus hingga 7.3 peratus pertumbuhan ekonomi tahunan.   

Projek MVV termasuk pembangunan lima kluster strategik iaitu Lembah Pendidikan-Teknologi, Pelancongan dan Kesihatan, perbandaran baharu, daerah perniagaan pusat dan bandar alam semula jadi.  

Berita Harian X