Khamis, 19 Julai 2018 | 2:57pm

Honda Malaysia catat jualan 51,354 unit

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia yakin akan mencapai sasaran jualan 109,000 unit kenderaan untuk 2018 berikutan prestasi jualan memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.

Dalam satu kenyataan, Honda Malaysia berkata, pengeluar kereta itu mencatatkan jualan sebanyak 51,354 unit bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

"Honda Malaysia menerima jumlah tempahan sebanyak 20,000 unit pada Jun lalu, iaitu angka tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah.

"Daripada jumlah itu, model Honda City menerima tempahan tertinggi yang merangkumi sebanyak 36 peratus, diikuti CR-V dan Civic, masing-masing sebanyak 14 peratus," katanya.

Katanya, prestasi jualan memberangsangkan itu juga adalah berikutan daripada kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta beberapa tawaran promosi.

"Berdasarkan rekod jualan ini, Honda Malaysia menyumbang 17.7 peratus kepada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sehingga 30 Jun lalu.

"Ia juga mengekalkan kedudukan Honda Malaysia sebagai pendahulu segmen bukan nasional dan kedua dalam kedudukan keseluruhan TIV pada tempoh separuh pertama 2018.

Disebabkan jumlah tempahan yang begitu banyak, Honda Malaysia melanjutkan tempoh menunggu kepada empat bulan untuk beberapa model," katanya.

Honda Malaysia berkata, berdasarkan prestasi jualan model pada tempoh enam bulan pertama itu, City mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak 15,400 unit, menyumbang 30 peratus kepada jualan keseluruhan.

Katanya, angka itu menunjukkan peningkatan tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Selain itu, model HR-V dan CR-V menyumbang sebanyak 16 peratus dan 13 peratus.

"Ketiga-tiga model ini kekal menjadi pendahulu bagi segmen masing-masing pada tempoh berkenaan bersama dengan model Honda yang lain seperti Jazz, BR-V, Accord dan Civic," katanya.

Berita Harian X