Isnin, 16 Julai 2018 | 4:49pm
KETUA Pegawai Eksekutif Central Sugars Refinery Sdn Bhd, Hishammudin Hasan dan Pengerusi Central Sugars Refinery Sdn Bhd, Megat Joha Megat Abdul Rahman melancarkan Penjenamaan Semula Produk CSR di Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Produk CSR di Pejabat Central Sugars Refinery Sdn Bhd. - Foto Roslin Mat Tahir

 KETUA Pegawai Eksekutif Central Sugars Refinery Sdn Bhd, Hishammudin Hasan menunjukkan produk CSR pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Produk CSR di Pejabat Central Sugars Refinery Sdn Bhd. - Foto Roslin Mat Tahir

CSR galak guna gula perang

SHAH ALAM: Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR), berhasrat mengubah trend penggunaan gula putih kepada gula perang dalam usaha memupuk orang ramai menikmati gula yang lebih baik pada harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hishammudin Hasan, berkata pengeluar gula tempatan itu bakal menurunkan harga gula perang kepada RM3.50 sekilogram berbanding RM4.25 pada masa ini bermula Ogos ini bagi menarik orang ramai berubah dan menggunakan gula perang.

"Gula perang adalah gula tebu mentah yang kurang ditapis dan diproses serta mengandungi anti-oksidan dan mikro nutrien semulajadi di mana ia adalah pilihan lebih baik bagi meningkatkan rasa makanan dan minuman," katanya kepada media selepas pelancaran semua produk gula CSR di sini, hari ini.

Hishammudin berkata, pada masa ini permintaan gula tempatan adalah sebanyak 1.5 juta tan setahun, namun peratusan dan pengeluaran untuk gula perang adalah rendah berbanding gula putih.

"Kami berharap dapat memasarkan sebanyak mungkin produk gula perang di pasaran di mana harga yang kami tawarkan adalah lebih berpatutan berbanding jenama import," katanya.

Mengulas mengenai penjenamaan semula, Hishammudin berkata, langkah itu bukan berkaitan jenama semata-mata, namun membabitkan pendekatan menyeluruh terhadap produk yang baik dan mampu memenuhi kehendak pengguna untuk tujuan masakan, minuman dan kesihatan.

Menurutnya, ia juga membabitkan aspek pembungkusan menarik dan rangkaian pengedaran lebih baik bagi memastikan ia menjadi pilihan pengguna.

"Pada masa ini, kapasiti pengeluaran gula di negara ini adalah berlebihan iaitu sebanyak tiga juta tan berbanding penggunaan gula dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Oleh itu, kami tidak akan meningkatkan kapasiti, namun cenderung kepada perbelanjaan modal untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti tinggi.

"Kami tidak fokus kepada aktiviti penjenamaan semula secara keseluruhan, namun memperuntukkan modal sebanyak RM16 juta hingga RM20 juta dalam tempoh setahun membabitkan semua aspek bagi penghasilan produk gula," katanya.

Sementara itu, CSR menjangkakan industri gula tempatan akan kekal berada pada tahap sama pada tahun ini termasuk membabitkan kadar penggunaan gula dalam kalangan rakyat dan pemain industri.

"Secara lazimnya, industri gula akan kekal berada pada tahap sama, namun terpulang kepada bagaimana sesuatu pemain atau syarikat menarik perhatian orang ramai untuk menggunakan gula," katanya.

Berita Harian X