Jumaat, 13 Julai 2018 | 10:21pm

AmBank kecualikan fi pindahan dana dalam talian

KUALA LUMPUR: AmBank (M) Bhd mengecualikan fi untuk semua pindahan dana yang dilakukan melalui platform perbankan dalam talian, AmOnline.

AmBank Group dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengecualian itu termasuk fi sebanyak RM0.10 bagi setiap transaksi Pemindahan Interbank GIRO (IBG) dan caj sebanyak RM0.50 bagi setiap urus niaga Pemindahan Wang Antara Bank Segera (IBFT) yang dilakukan dalam talian, tanpa mengira jumlah transaksi.

Pengecualian itu sejajar dengan usaha digital AmBank, mempromosikan penggunaan AmOnline yang mudah, ringkas dan cepat serta seiring dengan usaha Bank Negara Malaysia untuk mempercepatkan migrasi ke arah pembayaran elektronik.

Ia juga dapat memberi manfaat kepada 535,560 pengguna berdaftar AmOnline pada 8 Julai tahun ini yang telah menyaksikan peningkatan jumlah urus niaga sebanyak 520,000 (transaksi pemindahan dana AmOnline ke bank lain) pada Jun tahun ini berbanding 250,000 urus niaga pada Jun 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata: "Dengan pengecualian ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pelanggan AmBank memilih untuk menggunakan perkhidmatan perbankan dalam dalam talian bagi melaksanakan transaksi mereka dan mengurangkan pengeluaran cek.

"Selaras dengan agenda Bank Negara Malaysia untuk bergerak ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai."

Selain itu, antara tawaran terkini AmOnline adalah pelanggan boleh menukar had kad kredit mereka dan memohon kad tambahan baharu melaluinya sendiri. -- BERNAMA

Berita Harian X