Khamis, 12 Julai 2018 | 3:10pm
Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad, Khairul Kamarudin, Pengerusi BIMB Investment Management Berhad, Nik Mohd Hasyudeen Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment Berhad, Najmuddin Mohd Lutfi, Rakan Arabesque Asset Management Holdings Ltd , Gabriel Karageorgiou dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ValueCAP Sdn Bhd, Sharifatu Laila Syed Ali bersama-sama melancarkan Dana Ekuiti Syariah - ESGs NilaiCAP Malaysia di Grand Hyatt Hotel di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

BIMB Investment sasar RM100 juta langganan dana ekuiti syariah pertamanya

KUALA LUMPUR: BIMB Investment Management Bhd (BIMB Investment) menyasarkan RM100 juta langganan dana ekuiti syariah pertamanya yang dikenali sebagai BIMB-Arabesque ValueCAP Malaysia Shariah-ESG Equity Fund dalam tempoh setahun selepas ia dilancarkan.

Dana dengan kerjasama rakan strategik, Arabesque Asset Management Holding Ltd (Arabesque) dan ValueCAP Sdn Bhd (ValueCAP) itu akan melabur dalam 100 syarikat patuh syariah di negara ini yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Ketua Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi, berkata pelaburan yang akan dibuat itu akan berasaskan kepada prestasi kewangan dan kemapanan syarikat yang terbabit.

"Setakat ini, ValueCAP melabur RM50 juta. Kami berharap lebih banyak pelabur akan menjadi sebahagian daripada dana ini kerana ia sesuai untuk pelabur korporat seperti syarikat berkaitan kerajaan, universiti dan syarikat takaful yang hanya boleh membuat pelaburan di negara ini.

"Dana berkenaan juga menawarkan keselesaan kepada pelabur institusi dan korporat di samping cara yang berkesan untuk melabur dalam syarikat di negara ini yang mempunyai status kewangan yang baik serta mengamalkan standard tadbir urus dan ketelusan di peringkat tertinggi.

"Sebagai tambahan, syarikat korporat dan institusi yang berminat hendak menjadi pelabur Pelaburan Mapan dan Bertanggungjawab (SRI) yang aktif boleh membangunkan ekosistem Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di negara ini dengan melakukan penyumberan luar pelaburan menerusi dana ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran dana berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi BIMB Investment, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, wakil Arabesque, Gabriel Karageorgiu dan Ketua Eksekutif ValueCAP, Sharifatu Laila Syed Ali.

Dana berkenaan ditawarkan pada harga RM1 seunit dengan langganan minimum sebanyak 100,000 unit.

Sementara itu, Pengerusi BIMB Investment Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata Malaysia muncul sebagai pasaran SRI terbesar di Asia kecuali Jepun dan kedua di dunia dalam pasaran dana Islam dengan kira-kira 29 peratus penguasaan pasaran bernilai AS$56 bilion daripada aset global dalam pengurusan.

"Berdasarkan pertumbuhan pesat segmen pasaran SRI di seluruh dunia, pasaran modal Malaysia mempunyai peluang besar untuk memimpin kawasan itu dengan SRI yang memanfaatkan ini melalui kedudukan yang baik dan asas pelaburan yang kukuh yang sudah tersedia," katanya.

Berita Harian X