Jumaat, 29 Jun 2018 | 6:59pm
Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping dilantik Pengerusi Eksekutif YTL Group.
Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping dilantik Pengerusi Eksekutif YTL Group.

YTL Group umum perubahan kepimpinan kanan

KUALA LUMPUR: YTL Group melantik Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping sebagai Pengerusi Eksekutif tiga syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd dan sebuah anak syarikat tidak disenaraikan, YTL Cement Bhd.

Perubahan itu berikutan keperluan untuk menyusun semula peranan dan tanggungjawab susulan kematian Pengasas YTL Group, Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay, pada Oktober tahun lalu.

Tiong Lay sebelum ini adalah Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Bhd, YTL Power International Bhd dan YTL Cement Bhd.

Di bawah penyusunan semula itu, Sock Ping akan memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif YTL Corp, YTL Power International dan YTL Land & Development Bhd.

Sementara itu, Datuk Yeoh Seok Kian akan menggantikan beliau sebagai Pengarah Urusan di YTL Corp dan YTL Land & Development.

Datuk Yeoh Seok Hong pula akan menggantikan Sock Ping sebagai Pengarah Urusan YTL Power International.

YTL Cement, sebuah anak syarikat YTL Corp yang menjalankan aktiviti pembuatan simen YTL Group, melantik Sock Ping sebagai Pengerusi Eksekutif, manakala Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong dilantik sebagai Pengarah Urusan.

Semua perubahan itu berkuakuasa semalam, melainkan dinyatakan sebaliknya.

Berita Harian X