Selasa, 26 Jun 2018 | 4:15pm
PEMANGKU Ketua Eksekutif MSM Malaysia Holdings, Mohd Shaffie Said (dari kiri), Pengerusi MSM Malaysia Holdings, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Pengarah Eksekutif MSM Malaysia Holdings, Datuk Khairil Anuar Aziz dan Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad semasa ke-7 Mesyuarat Agung Tahunan Tahunan di Menara Felda. - Foto Rosela
PEMANGKU Ketua Eksekutif MSM Malaysia Holdings, Mohd Shaffie Said (dari kiri), Pengerusi MSM Malaysia Holdings, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Pengarah Eksekutif MSM Malaysia Holdings, Datuk Khairil Anuar Aziz dan Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad semasa ke-7 Mesyuarat Agung Tahunan Tahunan di Menara Felda. - Foto Rosela

MSM rancang eksport ke Afrika, China

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd, pengeluar gula pasir utama negara merancang untuk mengeksport produknya ke negara benua Afrika dan China dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, berkata ia berikutan persaingan sengit pasaran domestik disebabkan oleh perdagangan gula yang murah dan tidak terkawal dari negara jiran melalui penyeludupan yang berlaku di pelabuhan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, rancangan itu masih di peringkat awal dan syarikat masih mengenal pasti strategi yang akan digunakan sama ada bergerak secara sendiri atau menjalin kerjasama dengan pemain industri utama lain.

"Kami lihat adanya peningkatan permintaan di rantau Afrika, manakala China adalah pasaran khas kerana menjadi pengimport bersih gula," katanya selepas mesyuarat agung tahunan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kilang penapisan gula baharu di Tanjung Langsat, Johor yang dijangka beroperasi secara rasmi bulan depan, Azhar berkata ia mampu meningkatkan kapasiti sebanyak 0.3 tan bagi pertumbuhan domestik dan eksport pada 2018.

"Kami jangka 2018 adalah tahun untuk mencatatkan keuntungan yang lebih baik berbanding tahun sebelum ini yang mencabar, memandangkan harga gula mentah dunia lebih rendah dan ringgit yang lebih kukuh mampu memastikan penstabilan kos gula mentah.

"Setakat ini, syarikat mencatatkan prestasi yang baik, namun masih banyak kerja yang perlu dilakukan," katanya.

Menyentuh mengenai pelantikan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Azhar berkata, syarikat akan mengumumkan calon yang sesuai untuk menyandang jawatan itu pada Julai nanti.

Ketika ini, Mohd Shaffie Said bertindak sebagai pemangku CEO sejak Januari lalu selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Amri Sahari @ Khuzari meletak jawatan.

Ditanya mengenai kedudukannya sebagai pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berikutan trend beberapa pemimpin GLC melepaskan jawatan masing-masing selepas Pakatan Harapan menerajui kerajaan, beliau menjelaskan akan terus memimpin syarikat dengan penuh komited tanpa sebarang prejudis.

"Saya bukan ahli politik. Saya tidak memihak kepada mana-mana parti dan tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti. Saya akan terus menjalankan tugas saya selagi Ahli Lembaga Pengarah mahu saya mengetuai syarikat ini," katanya.

Berita Harian X