Jumaat, 8 Jun 2018 | 4:00pm

Khazanah melabur dalam Ant Financial

KUALA LUMPUR: Ant Financial, syarikat pembayaran bersekutu Alibaba Group Holding, menerima pelaburan AS$14 bilion (RM55.81 bilion) daripada pelabur termasuk dana kerajaan Singapura dan Malaysia, demikian menurut Asian Financial Review.

Ia menjadi salah satu pusingan pembayaran terbesar yang pernah diterima oleh sesebuah syarikat persendirian.

Pelaburan itu, yang bernilai berbilion dolar lebih tinggi berbanding dilaporkan sebelum ini, adalah gabungan atara dolar Amerika Syarikat (AS) dan yuan China, dijana daripada kedua-dua pelabur asing dan domestik.

"Pelabur berkenaan antara lain termasuk sayap pelaburan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd; dana kekayaan kerajaan Singapura, GIC dan Temasek serta dana ekuiti swasta AS, Warburg Pincus dan General Atlantic.

"Peningkatan jumlah pelaburan itu menunjukkan keyakinan mereka untuk menerokai pasaran pembayaran mudah alih China, yang terbesar di dunia dan didominasikan oleh platform pembayaran dalam talian, Alipay serta WeChat Pay," katanya.

Ant Financial berkata, manfaat pelaburan akan digunakan untuk mempercepatkan pelan globalisasi Alipay dan pembangunan teknologi.

Syarikat berkenaan sudah memasuki pasaran Asia Tenggara, yang kebanyakannya adalah melalui pengambilalihan dan usaha sama, selain turut memegang saham dalam Paytm.

Menurut syarikat itu, Ant Financial memiliki 870 juta pengguna aktif tahunan di seluruh dunia, bagi tahun berakhir Mac.

Penjanaan dana itu dibuat ketika jangkaan semakin meningkat saham Ant Financial akan diapungkan di pasaran.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak mengulas mengenai penyenaraian itu atau penilaiannya, yang sebelum ini dilaporkan pada AS$150 bilion (RM597.98 bilion)

Berita Harian X