Selasa, 5 Jun 2018 | 6:15pm
(DARI kiri) Ketua Serantau Pengurusan Kekayaan CIMB Bank Berhad, Gary Yong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan CIMB Islamic, Rafe Haneef; Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Raymond Lew dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Muhammad Fikri Mohamad Rawi hadir pada pelancaran Takaful Mulia di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi
(DARI kiri) Ketua Serantau Pengurusan Kekayaan CIMB Bank Berhad, Gary Yong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan CIMB Islamic, Rafe Haneef; Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Raymond Lew dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Muhammad Fikri Mohamad Rawi hadir pada pelancaran Takaful Mulia di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

CIMB Islamic sasar RM10 juta premium

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic), melancarkan produk takaful terbarunya, Takaful Mulia sekali gus mengunjurkan lebih RM10 juta premium akan dilanggan menjelang akhir tahun ini.

Ketua Serantau Pengurusan Kekayaan CIMB Bank Berhad, Gary Yong berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai berikutan pada prapelancaran Takaful Mulia, sebanyak RM3 juta premium telah dilanggan.

Katanya, Takaful Mulia adalah penyelesaian takaful terbaru yang dibangunkan eksklusif untuk CIMB Islamic oleh rakan banca takafulnya, Sun Life Malaysia Takaful Bhd.

"Takaful Mulia unik dan menjadi polisi takaful pertama yang direka khas untuk pelanggan Muslim.

"Kami percaya produk seumpama ini akan mendapat permintaan dalam kalangan pelanggan yang mencari perlindungan takaful komprehensif dengan pelbagai manfaat," katanya pada sidang media selepas pelancaran Takaful Mulia di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan CIMB Islamic, Rafe Haneef dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Muhammad Fikri Mohamad Rawi.

Rafe berkata, Takaful Mulia dibangunkan secara ekslusif untuk memberi manfaat perlindungan kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal (TPD), simpanan, wakaf, zakat, fidyah, umrah dan haji.

Menurutnya, Takaful Mulia juga produk inovatif yang menggabungkan keupayaan dan memenuhi kerohanian pelanggan dalam mencari perancangan kewangan berlandaskan syariah.

Antara manfaat tersedia termasuk 3.0 peratus daripada jumlah sumbangan akan diserahkan kepada badan wakaf, 2.5 peratus bagi pusat zakat serta bayaran RM1,000 sebagai fidyah atau sedekah.

Sementara itu, mengulas mengenai pasaran sukuk negara, Rafe menjangkakan Malaysia akan kekal menjadi pengeluar sukuk utama iaitu kira-kira 50 peratus daripada jumlah sukuk global.

Berita Harian X