Khamis, 31 Mei 2018 | 5:32pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto Salhani Ibrahim
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto Salhani Ibrahim

PETRONAS sertai projek LNG Kanada

KUALA LUMPUR: PETRONAS menerusi entiti milik penuhnya, North Montney LNG Limited Partnership (NMLLP) membeli 25 peratus kepentingan dalam projek Gas Cecair Asli Kanada (LNG Kanada) di Kitimat, British Columbia, Kanada.

Dengan adanya pegangan kepentingan dalam projek itu akan meningkatkan usaha syarikat minyak dan gas nasional itu membangunkan sumber gas asli bertaraf dunia di North Montney, timur laut British Columbia menerusi anak syarikat milik penuhnya, Progress Energy Canada Ltd.

Transaksi itu dijangka selesai dalam beberapa bulan lagi.

Sebaik saja transaksi itu selesai, komposisi pemilikan dalam projek itu adalah PETRONAS (menerusi NMLLP) sebanyak 25 peratus; Shell Canada Energy, anak syarikat Royal Dutch Shell plc (Shell) (40%); PetroChina Canada Ltd (15 peratus); Diamond LNG Canada Ltd, anak syarikat Mitsubishi Corporation (15 peratus) dan Kogas Canada LNG Ltd (lima peratus).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata pihaknya gembira untuk menjadi sebahagian dalam projek LNG Kanada.

Beliau berkata, sebagai salah satu pengeluar LNG terbesar dunia, PETRONAS ingin menambah nilai kepada usaha sama ini menerusi kepakaran dan pengalaman merentasi rantaian nilai LNG.

"Kami komited untuk menyampaikan LNG dan gas asli, bahan api fosil paling bersih di dunia kepada pasaran tenaga global yang sedang pesat berkembang," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Zulkiflee berkata, Kanada adalah untuk jangka panjang dan syarikat minyak dan gas nasional itu meninjau beberapa peluang perniagaan yang membolehkan pihaknya meningkatkan pengeluaran dan mempercepat pengewangan sumber bertaraf dunia di North Montney.

LNG adalah satu daripada peluang itu, katanya.

Projek yang dicadangkan itu termasuk reka bentuk, pembinaan dan operasi loji mencairkan gas dan kemudahan penyimpanan serta eksport LNG, termasuk kemudahan marin.

Loji itu pada mulanya terdiri daripada dua unit pemprosesan LNG berskala dunia yang dirujuk sebagai "trains", dengan pilihan untuk memperluaskan projek pada masa depan untuk empat trains.

Kanada adalah pemegang sumber kedua terbesar PETRONAS selepas Malaysia, dengan sumber gas dan minyak bukan konvensional di North Montney.

PETRONAS dan rakan usaha samanya, North Montney adalah satu daripada pemilik sumber gas asli terbesar di Kanada dengan lebih 52 trilion kaki persegi (Tcf) rizab dan sumber kontingen.

Berita Harian X