Khamis, 31 Mei 2018 | 4:18pm
PENGERUSI UEM Sunrise, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise Berhad, Mohamed Rastam Shahrom (kiri) melihat buku laporan tahunan ketika sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-10 UEM di Persada Plus. - Foto Hafiz Sohaimi

Pembatalan HSR tak jejas rancangan UEM Sunrise

KUALA LUMPUR: Pembatalan projek berimpak tinggi Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) oleh kerajaan tidak memberi kesan besar kepada plot Pembangunan Berasaskan Transit (TOD) Gerbang Nusajaya oleh UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Aji, berkata dalam jangka masa sederhana, syarikat tidak akan menghadapi sebarang masalah namun tidak menolak kemungkinan ia bakal memberi impak besar kepada syarikat dalam jangka masa panjang.

"Buat masa ini, selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai pembatalan projek HSR, UEM Sunrise juga menghentikan seketika pembangunan TOD dan stesen HSR yang sudah dirancang.

"Untuk jangka masa sederhana, ia tidak memberi impak besar kerana mengikut perancangan, projek HSR dijangka siap pada 2026 manakala projek TOD ini pula bakal disiapkan dalam tiga empat tahun akan datang.

"Namun, syarikat akan melihat kembali pembangunan ini dan jika bukan untuk projek HSR, kita akan tumpu kepada pembangunan berkaitan yang lain. Masih banyak potensi untuk dibangunkan," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) UEM Sunrise di sini hari ini.

UEM Sunrise merancang pembangunan TOD berkeluasan 300 ekar (121 hektar) dengan 70 ekar (28 hektar) bagi pembinaan stesen HSR Iskandar Puteri, yang pada mulanya dilihat dapat membuka potensi Gerbang Nusajaya melalui kerjasama dengan pemegang kepentingan strategik lain.

Gerbang Nusajaya adalah fasa kedua pembangunan Iskandar Puteri merangkumi pembangunan bercampur seluas 4,551 ekar (1,841 hektar) yang bakal siap dibangunkan dalam tempoh lebih 25 tahun.

UEM Sunrise baru-baru ini juga sudah memulakan perancangan terperinci serta mengemukakan (pembangunan) TOD di stesen HSR Iskandar Puteri dengan melantik Atkins iaitu ahli kepada SNC-Lavalin Group bagi perancangan induk reka bentuk.

Anwar berkata, projek pembangunan bercampur di Gerbang Nusajaya juga tidak akan terjejas dengan pembatalan ini, kerana kedudukannya yang strategik, terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan dengan kereta dari Link Kedua Tuas itu akan tetap menjadi pilihan pelabur.

Beliau berkata, tarikan lain di Iskandar Puteri juga turut memberi impak positif kepada pembangunan di Gerbang Nusajaya, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada projek HSR.

"Kedudukannya yang berdekatan dengan Link Kedua itu juga membuka peluang kepada pembangunan di situ terus berkembang. Masih banyak lagi projek pembangunan akan dilaksanakan di sana," katanya.

Anwar berkata, syarikat optimis pasaran hartanah akan kembali melonjak naik tahun ini dengan jualan hartanahnya kini berjumlah RM538.6 juta, menghampiri sasaran jualannya pada 2018 sebanyak RM1.2 bilion.

Beliau berkata, pada tahun kewangan 2017, syarikat mencatatkan pendapatan yang tinggi sebanyak RM2.9 bilion selain peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak dikawal (PATANCI) dari RM147.3 juta kepada RM280.1 juta.

"Malah UEM Sunrise juga mencatatkan jualan melebihi sasaran kami sebanyak 24 peratus kepada RM1.5 bilion," katanya.

Berita Harian X