Isnin, 28 Mei 2018 | 6:08pm

Agrobank catat laba RM230.6 juta

KUALA LUMPUR: Agrobank meraih keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) berjumlah RM230.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, menokok 16.7 peratus berbanding PBZT bagi tahun 2016.

Institusi pembangunan kewangan (DFI) dengan mandat kepada pembangunan pertanian dalam satu kenyataan berkata, jumlah pembiayaan bagi tahun dikaji meningkat 9.9 peratus kepada RM9.5 bilion.

"Ini diterajui pertumbuhan sektor berasaskan pertanian sebanyak 36.7 peratus, manakala pembiayaan pertanian asas tumbuh sebanyak 12.5 peratus," katanya.

Bagi tempoh dikaji, pembiayaan sektor agro-makanan meningkat 13 peratus, angka yang melepasi pertumbuhan industri perbankan dalam sektor berkenaan iaitu 3.6 peratus.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan, berkata pertumbuhan kukuh tahun lalu sejajar dengan Pelan Strategik Perniagaan 2016-2020 (SBP 2016-2020), selain turut disokong oleh pertumbuhan keseluruhan sektor pertanian di negara ini.

"Kami melaksanakan beberapa inisiatif strategik dalam SBP 2016-2020 untuk meningkatkan pendapatan dan pertumbuhan serta mengukuhkan kualiti aset, manakala selebihnya tertumpu kepada bidang pertanian, termasuk agro-makanan, pertanian asas dan komoditi.

"Tahun lalu, pencapaian kami juga disokong oleh pemulihan dalam sektor pertanian yang mencatat pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus, selepas ia menguncup 5.1 peratus tahun sebelumnya.

"Selain itu, wujudnya permintaan kukuh bagi minyak sawit disebabkan cuaca yang bertambah baik selepas berakhirnya kemarau, sementara ia turut disokong peningkatan dua peratus dalam subsektor agro-makanan.

"Pada 2017, sektor pertanian menyumbang 8.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM1.16 bilion," katanya.

Menurut Syed Alwi, tahun lalu, Agrobank mempergiatkan kerjasama strategik dengan rakan kongsi dalam menyediakan kemudahan serta program pembiayaan untuk pelbagai komuniti pertanian terutama bagi pekebun kecil dan golongan berpendapatan rendah dalam ekonomi atau komuniti B40.

"Agrobank mengembangkan tawaran produknya pada 2017 menerusi kerjasama dengan beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

"Kerjasama strategik dibentuk dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Selangor dan Kelantan untuk mewujudkan skim pembiayaan kumpulan fertigasi cili," katanya.

Berita Harian X