Jumaat, 25 Mei 2018 | 6:23pm

Sime Darby catat untung RM225 juta

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) RM225 juta dan keuntungan bersih RM135 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2018.

PBIT teras kumpulan bagi suku dikaji berjumlah RM263 juta, meningkat 17.9 peratus daripada RM223 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Mac 2018, PBIT teras meningkat sebanyak 39 peratus daripada RM568 juta dalam tempoh sama tahun kewangan lalu kepada RM788 juta.

PBIT kumpulan bagi suku dikaji termasuk caj agak lebih tinggi bagi kerja-kerja perkhidmatan di Australia, berbanding dengan suku sebelumnya, selain susut nilai bil daripada operasi minyak dan gas yang tidak diteruskan.

Keuntungan bersihnya pada suku dikaji juga secara perbandingannya lebih rendah berbanding suku sama terdahulu, disebabkan oleh pendapatan faedah tambahan sebelum itu.

Namun begitu, PBIT teras kumpulan menyaksikan peningkatan disebabkan oleh pemulihan industri perlombongan Australia serta pengukuhan jualan dalam bahagian motor dan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Jeffri Salim Davidson, berkata kumpulan kekal fokus terhadap sektor teras dan akan terus meneroka pelbagai peluang bagi mempercepatkan pertumbuhan dan memacu perniagaan menuju ke hadapan.

"Pada 3 Mei, kami melancarkan pembukaan kemudahan pemasangan enjin BMW baharu di Kulim, Kedah. Ia bukti kepada kemampuan kami dan kekuatan hubungan bersama BMW.

"Pemasangan enjin BMW di Kulim akan meningkatkan kandungan tempatan kereta kami, menjadikannya lebih berdaya saing dari segi kos," katanya.

Dalam tempoh dikaji, perniagaan industri Sime Darby menyaksikan pendapatannya meningkat 21.6 peratus. Ia mencatatkan PBIT RM77 juta pada suku berkenaan, berbanding RM82 juta pada suku sama tahun lalu.

Perniagaan motor mencatatkan PBIT RM133 juta pada suku dikaji, berbanding denganRM126 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Sementara itu, perniagaan logistik merekodkan PBIT RM18 juta berbanding dengan RM13 juta pada suku sama tahun lalu, mewakili kenaikan sebanyak 38.5 peratus, disebabkan oleh keuntungan tukaran asing sebanyak RM5 juta.

Berita Harian X