Jumaat, 25 Mei 2018 | 4:03pm

PROTON naik taraf 79 cawangan kepada 3S dan 4S

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd (PROTON) sudah menaik taraf status 79 cawangan pengedarnya kepada 3S dan 4S sejak awal tahun hingga 18 Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata angka itu menunjukkan bahawa syarikat itu kini sudah mencapai 72 peratus sasarannya untuk mewujudkan sebanyak 109 cawangan 3S dan 4S menjelang akhir Oktober ini.

"Sasaran bakal dicapai lebih awal dari jangkaan dan kami yakin bahawa PROTON berada di landasan betul untuk menyediakan perkhidmatan kelas dunia dari segi pengalaman jualan dan perkhidmatan kepada pelanggan,"

"Jenama PROTON masih mempunyai pengaruh kuat di pasaran dan ini dibuktikan menerusi sokongan pelabur yang menyertai kami sebagai pengedar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata kepuasan pelanggan sentiasa menjadi tumpuan syarikat untuk memastikan kemampanan perniagaan.

"Atas sebab ini, saya menggalakan pengedar untuk menaik taraf cawangan mereka kepada 3S dan 4S supaya kita semua boleh memajukan perniagaan dan memperoleh faedah berterusan daripadanya," katanya.

Sementara itu, selaras dengan pengumuman kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun 2018, PROTON menawarkan pilihan kepada pelanggannya sama ada untuk menerima rebat tunai atau baucar servis yang mempunyai nilai sama, bagi perbezaan harga sebelum dan selepas GST untuk kereta yang dibeli dan didaftarkan dari 16 Mei hingga 31 Mei ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi cawangan pameran PROTON atau melayari laman web rasmi di pautan www.proton.com.

Berita Harian X