Khamis, 24 Mei 2018 | 4:40pm

MBM jangka jualan kenderaan meningkat

KUALA LUMPUR: MBM Resources menjangkakan jualan kereta dan trak yang menggalakkan dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus diperkenalkan semula.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Abdul Halim, berkata orang ramai yang membeli kenderaan dalam tempoh itu akan menikmati penjimatan dan ini sekali gus akan mendorong kepada pembelian dan meningkatkan jualan.

"GST ditetapkan pada kadar sifar bermula 1 Jun dengan SST dijangka akan diperkenalkan semula dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

"Pembeli kereta dan trak dalam tempoh itu bakal menikmati penjimatan. Kami menjangkakan jualan yang lebih menggalakkan untuk kereta dan trak dalam tempoh dua tiga bulan akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat pemegang saham syarikat di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM Resources, Nor Hadi Daud dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Annie Chin Tze Fui.

MBM Resources adalah pengedar sah bagi jenama PERODUA, Mitsubishi, Volkswagen, Volvo, Daihatsu dan Hino. Ia juga menyediakan komponen kenderaan seperti tali pinggang keledar dan beg udara untuk Proton Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).

Sebelum ini, UMW Holdings Bhd dilaporkan menawarkan RM2.56 sesaham atau RM501 juta kepada Med-Bumikar Mara Sdn untuk 50.07 peratus kepentingan dalam MBM Resources.

Jika Med-Bumikar menerima tawaran itu, UMW bercadang untuk melaksanakan tawaran am dan menjadikan MBM Resources syarikat persendirian.

UMW berhasrat membeli MBM Resources kerana ingin memiliki PERODUA, yang mana MBM Resources memiliki 22.58 peratus pengeluar kenderaan tempatan itu.

Sehingga kini, ahli lembaga Med-Bumikar menolak tawaran berkenaan.

Ketika ditanya, Abdul Rahim menyatakan bahawa beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana rundingan itu kini dikendalikan syarikat induk, Med-Bumikar Mara.

Bulan lalu, UMW mengumumkan lanjutan tawarannya untuk membeli 50.07 peratus kepentingan dalam MBM Resources sehingga akhir Oktober ini. Itu adalah lanjutan kedua selepas UMW melanjutkan tempoh tawaran dari 28 Mac kepada 30 April lalu.

UMW sebelum ini memberi makluman kepada Bursa Malaysia bahawa lanjutan tempoh kedua itu adalah bagi membolehkan pihak-pihak terbabit membincangkan tawaran berkenaan.

Lanjutan enam bulan itu juga merangkumi tawaran RM417.5 juta untuk membeli 10 peratus kepentingan PERODUA daripada PNB Equity Resources Sdn Bhd.

Untung bersih suku pertama MBM Resources yang berakhir Mac 2018 melonjak 68.9 peratus kepada RM32.82 juta daripada RM19.43 juta tempoh sama tahun lalu, berikutan peningkatan jualan kenderaan dan komponen kereta.

Berita Harian X