Jumaat, 18 Mei 2018 | 4:00pm
Ketua Sumber Manusia Kumpulan RHB Banking Group (RHB), Jamaluddin Bakri. - Foto Muhd Asyraf Sawal

RHB menang 8 kategori pada dua anugerah

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group (RHB) memenangi empat kategori pada Anugerah Pengambilan Pekerja Asia 2018 (ARA 2018) dan empat lagi kategori pada Anugerah Jenama Majikan Terbaik Malaysia 2018 (MBEBA 2018) yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Pada ARA 2018, RHB memenangi kategori Pasukan Pengambilan Pekerja Dalaman yang mengiktiraf usaha Kumpulan dalam mendapatkan bakat tenaga kerja yang berkualiti.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, RHB berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan proses pengambilan pekerja yang inovasi dan terpimpin.

Selain itu, RHB turut merangkul anugerah bagi kategori Penggunaan Digital Media Terbaik yang mengiktiraf penggunaan inovatif media digital merangkumi semua saluran untuk memaksimumkan jangkauan bakat oleh organisasi bagi semua industri.

Antara anugerah lain yang diperoleh pada ARA 2018 termasuklah dalam kategori Pengalaman Terbaik Calon oleh Kumpulan Sumber Manusia Korporat dan Penggunaan Terbaik Kesedaran Ruang.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, Ketua Sumber Manusia Kumpulan, Jamaluddin Bakri berkata anugerah yang diterima adalah bukti komitmen RHB dalam membina dan mengukuhkan bakat yang meluas serta membangunkan tenaga kerja berprestasi tinggi.

"Tenaga kerja berkenaan boleh memacu strategi lima tahun kumpulan dan menyumbang kepada pertumbuhan negara," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, RHB turut mengumumkan kejayaannya memenangi anugerah Jenama Majikan Terbaik di Malaysia serta tiga lagi anugerah sampingan iaitu Kecemerlangan Latihan, Pengurusan Bakat dan Pengambilan Pekerja.

Kesemua anugerah itu diberi berdasarkan amalan sumber manusia yang cemerlang dan inisiatif pembangunan.

RHB adalah kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu sepenuhnya yang keempat terbesar di negara ini.

Berita Harian X