Khamis, 3 Mei 2018 | 1:07pm
PENGARAH Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl. - Foto Zunnur Al Shafiq

BMW pilih Malaysia jadi pusat pemasangan enjin

KULIM: Pasaran automotif negara terus mendapat perhatian peserta industri global apabila gergasi automotif Jerman, BMW menjadikan Malaysia sebagai pusat pemasangan enjin dalam usaha mengembangkan pasaran di negara ini dan rantau ASEAN.

Ia direalisasikan menerusi kerjasama BMW Group Malaysia dan Sime Darby Auto Engineering (SDAE) dengan mewujudkan kemudahan pemasangan enjin SDAE di Kulim, Kedah membabitkan pelaburan RM132 juta.

Dibangunkan di kawasan seluas 2.4 hektar, kemudahan berkenaan memiliki ruangan keluasan mencecah 8,500 meter persegi dan akan memberi sokongan terhadap perkembangan permintaan BMW Group Malaysia untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD).

Kemudahan hasil pelaburan SDAE yang dilengkapi dengan teknologi pembangunan enjin terbaharu itu juga akan membantu inisiatif pengeksportan pengeluar kenderaan premium itu ke pasaran serantau.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkata SDAE memainkan peranan sebagai rakan kongsi strategik bagi pihaknya di Asia Tenggara.

Beliau berkata, kepentingan itu dicerminkan menerusi prestasi syarikat yang sejajar dengan pencapaian BMW di seluruh dunia.

Katanya, pada suku pertama tahun ini, BMW Group berada dalam landasan terbaik untuk mencapai jualan tertinggi sebanyak 604,629 unit di seluruh dunia, meningkat tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Prestasi positif di seluruh dunia juga turut dicerminkan di negara ini apabila BMW Group Malaysia meraih peningkatan jualan 15 peratus bagi kenderaan seperti BMW, MINI dan BMW Motorrad, dengan jumlah jualan sebanyak 3,000 unit pada suku pertama tahun ini.

"Menerusi kemudahan pemasangan enjin SDAE, ia akan mewujudkan 60 peluang pekerjaan tambahan, sekali gus menunjukkan komitmen kami dalam meningkat peluang dan prospek kerjaya dalam pasaran pekerjaan tempatan di Teknologi Tinggi Kulim," katanya.

Kemudahan pemasangan enjin SDAE dilengkapi dengan inovasi terbaharu, peralatan pemasangan EST, kelengkapan Teknologi Dosing dan Bonding (DoboTech), pengukiran enjin, pengisian minyak enjin dan mesin ujian untuk pampasan injap hidraulik, kebocoran serta kepanasan dan kesejukan.

Kemudahan di Kulim itu membolehkan BMW memasang enjin tiga dan empat silinder, enjin diesel empat silinder termasuk enjin pembakaran dalaman tiga dan empat silinder untuk kenderaan elektrik Plug-In Hybrid.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datin K Talagavathi, berkata kemudahan pemasangan enjin baharu yang dibangunkan menerusi kerjasama dan inisiatif Sime Darby Motors bersama BMW Group tidak hanya merangsangkan persaingan di dalam negara dan rantau ini, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran kompetensi teknikal untuk pekerja tempatan.

"Pembangunan kemudahan terbaharu ini dan kilang pemasangan serta Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di Johor oleh BMW Group menggalakkan pertukaran pengetahuan teknologi, lantas mewujudkan lebih banyak tenaga kerja yang inovatif dan berbakat sejajar dengan aspirasi transformasi yang ingin dicapai negara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sime Darby Bhd, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, berkata visi Sime Darby Motors adalah untuk menjadi rakan pemasangan kontrak pilihan bagi pengeluar kenderaan yang terbaik di ASEAN.

"Kami memiliki matlamat untuk menghasilkan lebih daripada 50,000 kenderaan dan komponen enjin dan sebagainya untuk kenderaan menjelang tahun 2020.

"Kemudahan pemasangan enjin SDAE yang baru dibuka hari ini mengorak langkah kejayaan bagi kami untuk mengecapi matlamat ini," katanya.

Berita Harian X