Rabu, 2 Mei 2018 | 1:14pm
PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nik Hariff Hassan
PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nik Hariff Hassan

Public Bank catat untung bersih RM1.41 bilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank memulakan 2018 dengan nota positif dengan mencatatkan keuntungan bersih RM1.41 bilion pada suku pertama, meningkat 12.6 peratus berbanding RM1.25 bilion dalam suku sama tahun lalu.

Keuntungan sebelum cukainya pada suku dikaji pula berkembang sebanyak 10 peratus kepada RM1.79 bilion.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata pertumbuhan keuntungan kumpulan pada suku pertama tahun ini terus disokong oleh pertumbuhan yang bertahan sebanyak empat peratus dalam pendapatan faedah bersih, disokong oleh pertumbuhan kukuh sebanyak 15.6 peratus dalam pendapatan bukan faedah.

"Ini menyebabkan petunjuk prestasi kewangan yang terus baik, seperti yang ditunjukkan dalam pulangan ekuiti bersih kumpulan sebanyak 15.2 peratus, nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 32.6 peratus, yang kekal sebagai yang terbaik dalam industri perbankan dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Pendapatan teras kumpulan Public Bank terus dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam perniagaan pinjaman dan deposit.

Pada suku pertama 2018, jumlah pinjaman kasar Kumpulan meningkat pada kadar tahunan sebanyak tiga peratus, dengan pinjaman dalam negeri berkembang lebih cepat pada kadar tahunan sebanyak lima peratus.

Kumpulan terus menguasai bahagian pasaran utama dalam negeri dalam pembiayaan hartanah kediaman dan pemberian pinjaman komersial kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Dalam perniagaan pengambilan deposit, kumpulan mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 8.3 peratus dalam jumlah deposit pelanggan pada suku pertama tahun 2018, manakala deposit dalam negeri berkembang pada kadar tahunan sebanyak 10.2 peratus.

Hong Piow berkata, persaingan dalam pembiayaan dan pasaran deposit kekal mencabar, namun kumpulan berupaya untuk mengekalkan kedudukan kewangan yang baik, bagi terus menjana pendapatan yang menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan kumpulan.

"Seperti yang ditunjukkan oleh pinjaman kasar kepada nisbah dana dan ekuiti sebanyak 79.9 peratus, pertumbuhan pembiayaan kumpulan terus disokong oleh struktur pendanaannya yang kukuh.

"Kumpulan juga terus berhati-hati dan memberi penekanan yang tegas bagi mengekalkan kedudukan mudah tunai yang baik, dalam persekitaran operasi yang mencabar dan keperluan pengawalseliaan mudah tunai yang ketat," katanya.

Dari segi prospek, beliau berkata ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mengagumkan sebanyak 5.9 peratus pada tahun 2017.

Pertumbuhan yang baik itu, katanya dijangka berterusan pada tahun 2018, berdasarkan prospek keadaan makroekonomi yang lebih baik di peringkat global dan dalam negeri.

"Persekitaran operasi yang positif itu adalah petanda baik bagi industri perbankan dalam negeri dengan peluang pertumbuhan yang berterusan.

"Sektor perbankan di Malaysia sudah lama memperoleh manfaat daripada keadaan ekonomi yang stabil dan persekitaran kawal selia yang berhemat sejak dahulu lagi. Dengan memanfaatkan persekitaran yang stabil dan kondusif ini, kumpulan Public Bank berupaya untuk kekal bertahan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggannya," katanya.

Berita Harian X