Isnin, 16 April 2018 | 3:13pm

BDB Land meterai MoU dengan sembilan peruncit utama

ALOR SETAR: BDB Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh BDB Darulaman Bhd (BDB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sembilan peniaga utama untuk pembangunan Hab Komersial Axis di pembangunan bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

Dalam satu kenyataan, BDB berkata sembilan peniaga itu termasuklah CBD Retail Sdn Bhd; EM Oppulence Sdn Bhd; CBR Coffee; Bayu Delight Food & Beverage; Pasar Mini Rajas; Mega Z Resources; Tadika Khalifah Unggul Cemerlang; Nida Atfal Sdn Bhd; Big Galleys Cafe Enterprise dan juga WB Health & Beauty Sdn Bhd.

BDB Land diwakili Pengarahnya, Fakhruzi Ahmad dan disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Paduka Rasli Basir dan Pemangku Ketua Bahagian Hartanah BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain.

BDB berkata, bilangan peruncit boleh meningkat sehingga 25 peruncit merangkumi pengendali perniagaan gaya hidup, makanan dan minuman serta pendidikan dalam selepas beberapa bulan pembangunan bermula.

Katanya, Hab Komersial Axis akan memulakan pembinaan bulan ini dan dijangka siap menjelang akhir 2019, dengan perniagaan di rumah kedai itu akan dibuka seawal suku pertama 2020.

"Pusat Runcit Kejiranan Axis dalam pembangunan Hub Komersial Axis akan menjadi pembangunan pusat pendidikan pertama di Kedah yang menawarkan lebih 41,000 kaki persegi ruang sewa.

"Pusat yang mempunyai reka bentuk kontemporari itu akan dibina dengan kos hampir RM5 juta dan bertujuan untuk menjadi destinasi makanan yang memaparkan penyedia makanan dan minuman isi rumah Kedah, di samping perkhidmatan runcit kejiranan yang penting seperti kedai dobi, farmasi dan klinik," katanya.

Sementara itu, Rasli berkata, Hab Komersial Axis akan menyediakan pasaran di Kedah dengan Hab Khusus Makanan dan Minuman serta Hab Pendidikan yang akan meningkatkan pengalaman tinggal di projek pembangunan kami.

"Rakan kongsi kami juga mengenalpasti potensi pertumbuhan yang ada di Koridor Utara dan kami menyasar untuk menjadi hab yang sinonim dengan makanan yang enak dan pusat runcit yang ideal bagi komuniti," katanya.

INFO

  • BDB ditubuhkan pada 7 Februari 1995 dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Berita Harian X