Jumaat, 6 April 2018 | 7:49pm

BNM: Kelulusan pinjaman rumah bawah RM500,000 masih stabil

KUALA LUMPUR: Kadar kelulusan pinjaman perumahan yang berharga kurang RM500,000 kekal stabil sejak beberapa tahun lalu pada paras melebihi 70 peratus, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Malah, kadar kelulusan bagi kediaman berharga kurang RM250,000 adalah lebih tinggi iaitu 72.7 peratus berbanding 67 peratus pada 2012, kata bank pusat itu menerusi laman sesawang Factwatch.my BNM.

Kenyataan BNM itu sebagai reaksi kepada satu artikel yang memetik Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA) membabitkan penolakan permohonan pinjaman perumahan.

Menurut REHDA, aspek pembiayaan akhir kekal sebagai cabaran utama bagi pembeli dalam usaha memiliki rumah mampu milik.

Malah, jumlah penolakan pinjaman perumahan tertinggi itu adalah bagi permohonan rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

BNM yang sependapat bahawa aspek kemampuan memiliki rumah sebagai isu utama untuk kalangan isi rumah di Malaysia, berkata pemaju perumahan sewajarnya berusaha untuk meningkatkan jumlah penawaran kediaman mampu milik untuk rakyat.

"Pada 2016, harga rumah di Malaysia dikategorikan sebagai 'sangat tidak mampu untuk dimiliki' dari segi standard antarabangsa dengan median gandaan sebanyak lima kali daripada pendapatan isi rumah," katanya.

Bank pusat itu berkata, mengikut pendekatan median gandaan oleh Demographia International, harga rumah dianggap tidak mampu dimiliki sekiranya median harganya melebihi tiga kali daripada median pendapatan tahunan isi rumah. - BERNAMA

Berita Harian X