Jumaat, 6 April 2018 | 5:54pm

Penyertaan TH dalam projek HSR untungkan pendeposit

KUALA LUMPUR: Pelantikan YTL THP JV Sdn Bhd (YTL THP JV) sebagai salah satu daripada dua Rakan Penyampaian Projek (PDP) bagi kerja-kerja sivil projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL - SG) mampu memberikan manfaat kepada pendeposit Tabung Haji (TH) secara tidak langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah, berkata konsortium Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd - TH Properties Sdn Bhd bertepatan dengan strategi pelaburan dana pengurusan haji itu, yang memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pendeposit.

"TH dan YTL sudah bekerjasama sejak 20 tahun lalu dan kami juga turut bersama-sama membina projek Express Rail Link (ERL) yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terminal klia2 dengan KL Sentral.

"Sehingga kini, ERL berjaya membawa sekitar 87 juta penumpang sejak 2002 dan dengan gabungan pengalaman antara kedua-dua entiti ini dalam projek berkaitan kereta api, kami yakin dapat melaksanakan tugas dalam projek HSR KL - SG," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Corp, Tan Sri Francis Yeoh, berkata pihaknya sangat berminat dengan projek ini selepas meneroka konsep perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi untuk memudahkan perjalanan lancar antara Kuala Lumpur dan Singapura sejak 1990-an.

"Kami teruja apabila projek ini kini membuahkan hasil dan kami percaya bahawa ia akan menjadi titik perubahan dalam menghubungkan komuniti di Malaysia dan Singapura.

"Ia secara tidak langsung memberi peluang kami memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi masa depan negara dalam membangunkan infrastruktur kereta api berkelas dunia," katanya.

MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) memilih dua konsortium untuk kerja-kerja sivil projek HSR KL - SG.

Ia diberikan kepada konsortium Malaysian Resources Corporation Bhd - Gamuda Bhd (MRCB - Gamuda JV) bagi jajaran di bahagian utara, manakala YTL THP JV bagi jajaran di bahagian selatan.

Kedua-dua konsortium akan melaksanakan semua aktiviti yang perlu, sepanjang fasa perancangan, pembinaan, pengujian, dan pengoperasian.

Berita Harian X