Selasa, 3 April 2018 | 3:31pm

Public Mutual lancar dana siri e baharu

KUALA LUMPUR: Public Mutual Bhd, anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd melancarkan dana siri e baharu, iaitu Public e-Islamic Flexi Allocation Fund (PeIFAF).

PeIFAF bertujuan mencapai pertumbuhan modal bagi jangka sederhana dan panjang menerusi pelaburan sehingga 98 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) dalam ekuiti patuh syariah atau sukuk.

Dana itu juga akan melabur sehingga 30 peratus daripada NAV dalam aset asing patuh syariah di Asia Utara, Asia Tenggara, Australia dan pasaran lain yang dibenarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual, Yeoh Kim Hong, berkata dana itu mempunyai mandat dana anjal yang membolehkan pengurus dana menjana keuntungan daripada peluang pelaburan, selain membenarkan ia memanfaatkan aliran dan pelaburan positif dalam pasaran domestik dan asing terpilih.

"Oleh itu, PeIFAF sesuai untuk pelabur jangka sederhana dan panjang yang mahu mendapatkan pertumbuhan modal melalui peruntukan portfolio anjal di semua ekuiti patuh Syariah dan sukuk," katanya.

Bagi menggalakkan simpanan dalam kalangan pelabur muda, pelaburan awal minimum dan tambahan hanya RM100 dan caj jualan hingga 3.75 peratus.

Harga terbitan awal PeIFAF adalah 25 sen seunit semasa tempoh tawaran awal selama 21 hari mulai hari ini hingga 23 April 2018.

Public Mutual adalah syarikat dana amanah persendirian terbesar di Malaysia dengan lebih 130 dana unit amanah di bawah pengurusannya dan setakat akhir Mac 2018, saiz dana yang diuruskan syarikat itu adalah RM82 bilion.

-BERNAMA

Berita Harian X