Jumaat, 23 March 2018 | 9:39pm

Untung bersih Gamuda naik 25 peratus

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Gamuda Bhd meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM224.02 juta pada suku tahun kedua berakhir 31 Januari 2018, berbanding RM179.18 juta tahun sebelumnya.

Perolehan untuk suku tahun berkenaan mengukuh kepada RM1.0 bilion berbanding RM853.88 juta pada tempoh sama sebelumnya, manakala keuntungan sesaham meningkat kepada 8.6 sen berbanding 6.86 sen.

Untuk tempoh enam bulan, keuntungan bersih meningkat kepada RM441.79 juta berbanding RM354.22 juta tahun ke tahun, manakala perolehan meningkat kepada RM1.77 bilion berbanding RM1.36 bilion.

"Peningkatan dalam perolehan dan keuntungan bersih untuk suku tahun semasa dan sehingga tahun ini adalah disebabkan oleh kemajuan kerja yang lebih tinggi daripada pelbagai projek pembinaan kumpulan disokong oleh jualan hartanah luar negara yang kukuh juga beberapa projek hartanah baharu di Malaysia," kata Gamuda dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Untuk masa hadapan, kumpulan berkenaan menjangkakan prestasi yang lebih baik untuk tahun fiskal berakhir 31 Julai, 2018.

Ini disebabkan oleh kemajuan dalam pembinaan Transit Aliran Massa: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT Laluan 2) di Lembah Klang yang mengikut kadarnya, jualan hartanah yang tinggi dipacu oleh projek luar negara terutama di Vietnam dan bandar baharu di Malaysia, serta sumbangan keuntungan yang mantap daripada bahagian lebuh raya.

Gamuda, melalui syarikat usahasama, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, rakan projek MRT Laluan 2, menyatakan kemajuan kumulatif laluan berkenaan adalah sejajar yang mana pada penghujung Februari 2018 sebanyak 17.7 peratus.

Pemerolehan pakej kerja berkenaan sudah mencapai RM31 bilion yang mewakili 98 peratus daripada nilai keseluruhan kerja.

Berkenaan bahagian hartanahnya, Gamuda berkata, ia berada pada landasannya untuk mencapai sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM3.5 bilion, melepasi jualan tahun lepas sebanyak RM2.4 bilion.

- BERNAMA

Berita Harian X