Selasa, 20 March 2018 | 4:13pm

Dialog Axiata tubuh pusat data di Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Dialog Axiata PLC (Dialog), anak syarikat Axiata Group Bhd di Sri Lanka, memeterai perjanjian untuk membangun dan mengendalikan pusat data perniagaan di Sri Lanka.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata anak syarikat Dialog iaitu Dialog Broadband Network (Private) Ltd (DBN) pada 16 Mac lalu memeterai perjanjian pemegang saham bersama St Anthony's Property developers (Private) Ltd (SAPD) untuk memperoleh 35 peratus kepentingan ekuiti di dalam Digital Reality (Private) Ltd (DRPL) menerusi satu terbitan saham utama.

Axiata berkata, Dialog adalah pelabur langsung asing terbesar Sri Lanka dengan jumlah pelaburan berjumlah AS$2.3 bilion sehingga Disember 2017.

Katanya, DBN adalah penyedia telekomunikasi talian tetap kedua terbesar di Sri Lanka dan menyediakan perkhidmatan suara, jalur lebar, talian sewa, penyelesaian pusat data dan perkhidmatan telekomunikasi lain kepada pelanggan kediaman dan perusahaan.

Selain itu, katanya, DBN mempunyai keupayaan untuk menjadi pengendali telekomunikasi pertama melancarkan Perkhidmatan Jalur Lebar Kelajuan Tinggi LTE 4G dan 4.5G di Sri Lanka.

Sementara itu, DRPL adalah sebuah syarikat yang mengendali Pusat Data berkepadatan tinggi pertama di Sri Lanka yang akan ditempatkan di Orion City IT Park di Colombo.

Axiata berkata, tujuan DRPL adalah untuk menubuh, mengendali dan menguruskan Pusat Data di Sri Lanka, manakala DBN akan memperoleh 35 peratus modal sahamnya.

Katanya, SAPD menyediakan pilihan untuk DBN untuk meningkatkan pegangan sahamnya di DRPL dan mendapatkan kawalan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh tahun ketiga ke tahun kelima.

Axiata berkata, DBN akan melaksanakan pengambilalihan itu melalui dana yang dihasilkan secara dalaman.

Berita Harian X