Isnin, 19 March 2018 | 3:48pm

Anak syarikat YTL beli saham pengendali hotel Belanda

KUALA LUMPUR: YTL Jawa Energy (YTLJE) BV, unit milik penuh tidak langsung YTL Power International Bhd merancang membeli 1.77 juta saham biasa dalam pengendali hotel Bel Air Den Haag Beheer BV, dengan harga 60.3 juta euro (RM289 juta).

YTL Power dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata saham itu mewakili keseluruhan saham terbitan dan saham luar biasa dalam modal saham Bel Air.

"Jumlah itu akan dibayar secara tunai tertakluk kepada pelarasan seperti yang ditetapkan dalam perjanjian jual dan beli," kata syarikat itu.

Selepas pembelian itu selesai, Bel Air akan menjadi anak syarikat YTLJE dan unit tidak langsung YTL Power.

"BV Hotel Bel Air Den Haag (BV Hotel), unit milik penuh Bel Air, kemudiannya akan menjadi anak syarikat tidak langsung YTLJE dan YTL Power," kata syarikat itu.

YTL Power berkata cadangan pembelian itu akan meningkatkan potensi pendapatan kumpulan.

"Ia tidak dijangka memberi sebarang kesan ketara kepada pendapatan, aset bersih atau tahap kadar hutang kumpulan bagi tahun kewangan semasa," kata syarikat itu.

Bel Air, yang diperbadankan di Amsterdam, Belanda, adalah pemilik sah dan benefisial Marriott The Hague.

-BERNAMA

Berita Harian X