Isnin, 19 March 2018 | 2:56pm

Alibaba tambah pelaburan dalam Lazada, tukar CEO

BEIJING: Alibaba Group Holding Ltd akan membuat pelaburan tambahan sebanyak AS$2 bilion (RM7.83 bilion) dalam firma e-dagang Asia Tenggara, Lazada Group dan menggantikan Ketua Eksekutifnya.

Ia sekali gus akan mengukuhkan kawalan Alibaba terhadap firma itu kerana ia menyasarkan pengembangan agresif di rantau berkenaan.

Eksekutif Alibaba, Lucy Peng akan dilantik sebagai Ketua Eksekutif Lazada, menggantikan Pengasasnya, Max Bittner yang akan menjadi Penasihat Kanan kepada Alibaba.

Pegangan kepentingan Alibaba akan meningkat berikutan pelaburan terkini itu, kata jurucakap kepada Reuters. Sebelum pelaburan itu, Alibaba mempunyai 83 peratus.

Langkah itu susulan pengembangan agresif setahun di Asia Tenggara oleh Alibaba dan syarikat pembayaran bersekutunya, Ant Financial.

Alibaba sebelum ini melabur AS$2 bilion (RM7.83 bilion) dalam firma yang berpangkalan di Singapura itu, sekali gus menjadikan jumlah pelaburannya kepada AS$4 bilion (RM15.66 bilion).

Syarikat gergasi e-dagang China itu yang mencatatkan pertumbuhan pendapatan dua angka setiap tahun sejak 2013, mula menawarkan pemilihan barangan daripada platform miliknya, Taobao kepada pengguna Lazada.

Pada April tahun lalu, Ant Financial membeli syarikat pembayaran bersekutu Lazada, helloPay Group, dengan menjenamakannya semula di bawah jenamanya sendiri, Alipay.

Ant Financial, yang mana Peng sebelum ini adalah Ketua Eksekutif, juga membeli saham dalam beberapa usaha sama pembayaran Asia Tenggara yang lain.

Alibaba berkata, integrasi antara Alibaba dan Lazada akan lebih mendalam berikutan pelaburan itu, membolehkan Lazada memanfaatkan sumber syarikat gergasi e-dagang itu. - Reuters

Berita Harian X