Isnin, 12 March 2018 | 5:03pm

Penganalisis yakin tawaran UMW beli MBM, Perodua

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan mengekalkan prospek positifnya bagi saham UMW Holdings Bhd susulan cadangan pembelian strategik 50.07 peratus pegangan dalam MBM Resources Bhd (MBMR) dengan harga RM501 juta dan 10 peratus dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) daripada Permodalan Nasional Bhd dengan harga RM417.5 juta.

RHB Research berkata juga terdapat sinergi yang akan dijana daripada perniagaan pengedaran automotif dan peralatan automotif MBM Resourcess.

"Kami akan kurang positif sekiranya pengambilalihan MBM Resources gagal dan UMW memperoleh hanya tambahan 10 peratus dalam Perodua.

"Kami menganggarkan proforma penilaian RM5.65 di bawah senario ini dan meningkatkan saranan kami kepada beli (daripada jual) dan menaikkan harga sasaran kami kepada RM6.91 (daripada RM5.40, peningkatan 16 peratus) dengan mengandaikan kedua-dua pembelian pegangan itu berjaya," kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, Kenanga Research berkata cadangan pembelian korporat itu akan membolehkan UMW meningkatkan pegangan strategiknya dalam Perodua, serta meningkatkan pendedahan dalam segmen kenderaan perdagangan menerusi pengedaran pelbagai jenama kenderaan seperti Daihatsu dan Hino daripada MBM Resources.

Ia juga akan mengembangkan penawaran UMW dengan perniagaan pembuatan peralatan automotif MBMR.

"Pembelian strategik itu konsisten dengan strategi UMW untuk meningkatkan perniagaan terasnya dalam segmen automotif, peralatan dan pembuatan serta kejuruteraan," kata firma itu yang mengekalkan saranan "mengatasi pasaran" dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.25.

Pada jam 10.32 pagi tadi, harga saham UMW Holding naik 26 sen kepada RM6.21 dengan 188,500 lot bertukar tangan.

-BERNAMA

Berita Harian X