Jumaat, 9 March 2018 | 8:50pm

UMW Holdings tawar hampir RM1 bilion beli kepentingan babit PERODUA

KUALA LUMPUR: UMW Holdings Bhd menawarkan hampir RM1 bilion bagi membeli sebahagian kepentingan dalam MBM Resources Bhd (MBMR) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, UMW Holdings menawarkan untuk membeli 10 peratus kepentingan dalam PERODUA daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM417.5 juta atau RM29.80 sesaham menerusi bayaran tunai dan penerbitan saham baharu.

Katanya, ini menjadikan nilai keseluruhan PERODUA yang juga adalah pengeluar kereta terbesar dalam negara dari segi jualan, kepada RM4.17 bilion.

"UMW Holdings akan membayar RM117.5 juta secara tunai dan baki selebihnya menerusi penerbitan 49.26 juta saham baharu UMW berharga RM6.09 sesaham," katanya.

Kumpulan itu ketika ini memegang 38 peratus kepentingan dalam PERODUA, manakala MBM Resources sebanyak 22.58 peratus.

UMW Holdings berkata, pihaknya menawarkan untuk membeli 50.07 peratus saham MBM Resources Bhd daripada anak syarikatnya, Med-Bumikar Mara Sdn Bhd berjumlah RM501 juta.

"Cadangan itu akan mengaktifkan tawaran mandatori bagi saham yang selebihnya dalam MBM Resources," katanya.

UMW Holdings berkata, ia juga tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian MBM Resources.

Katanya, cadangan itu akan membolehkannya meningkatkan kepentingan strategiknya dalam PERODUA yang terus menjadi peneraju pasaran di Malaysia dengan kejayaan pelancaran produknya baru-baru ini.

"Selepas selesai cadangan pengambilalihan MBM Resources ini, kepentingan kumpulan di dalam PERODUA secara efektifnya akan meningkat dari 38 peratus kepada 60.6 peratus.

"Ia kemudiannya naik kepada 70.6 peratus pula selepas selesai cadangan pengambilalihan kepentingan PERODUA," katanya.

Kedua-dua tawaran itu sah sehingga 28 Mac ini.

Berita Harian X